Omicron: Larang umrah jika kes di Arab Saudi semakin meruncing

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) belum bercadang menyekat umat Islam daripada mengerjakan umrah, walaupun kes berkaitan varian Omicron membabitkan jemaah yang pulang setelah mengerjakan ibadah itu, meningkat baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagaimanapun menegaskan KKM mungkin mengambil tindakan sebaliknya bergantung kepada situasi penularan Omicron di Arab Saudi, atau kes melibatkan jemaah umrah terus meningkat.

Arab Saudi semalam melaporkan 524 jangkitan baharu, meningkat berbanding 389 pada Ahad.

Daripada jumlah kes baharu itu, 164 direkodkan di Riyadh; Makkah (102 kes); Jeddah (102); Madinah (23); Dammam (18); Hofuf (14); Al-Khobar (sembilan); masing-masing enam di Al-Mubarraz dan Al-Lith; dan masing-masing lima di Taif, Abha dan Al-Kharj.

Mengulas lanjut, Khairy juga tidak menolak kemungkinan jemaah yang pulang setelah mengerjakan umrah akan diarah menjalani kuarantin di pusat kuarantin ditetapkan.

Menurutnya KKM akan memantau trend penularan kes Omicron di Arab Saudi sebelum sebarang keputusan lanjut mengenainya dimuktamadkan secara berperingkat.

Selain itu, katanya, individu yang mahu mengerjakan umrah disyaratkan supaya mengambil suntikan dos penggalak, sebelum mereka dibenarkan melakukan perjalanan ke Arab Saudi, berkuat kuasa serta-merta.

“Walaupun ada peningkatan kes Omicron mendadak di Arab Saudi yang kita sedang pantau, kita akan memperhebatkan usaha secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Sekarang ini kita sudah minta (jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah) dipakaikan peranti digital. Kuarantin di rumah masih dibenarkan tetapi mereka digalakkan untuk menjalani ujian kendiri setiap hari sepanjang tempoh berkenaan.

Terdahulu, KKM mengesan 49 lagi kes positif varian baharu Covid-19, Omicron, dengan 30 daripadanya adalah jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi antara 13 dan 17 Disember lalu.

Lima lagi kes bertolak dari United Kingdom; Qatar (empat); Amerika Syarikat (tiga); Nigeria (dua); dan masing-masing satu dari Turki, Itali, Emiriah Arab Bersatu dan Ghana. Berita berkaitan 

BERITA BERKAIT
POPULAR