Omicron: Laluan VTL Malaysia-Singapura digantung mulai esok

Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura yang dilaksanakan sejak 29 November lalu digantung sementara mulai esok hingga 20 Januari depan.

Sehubungan itu, semua penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL berkenaan dihentikan. VTL udara mula dilaksanakan pada 29 November lalu manakala VTL darat pula pada 20 Disember.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkaitan kluster varian baharu Covid-19, Omicron, di negara itu.

“Pada 20 Disember 2021, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 yang melibatkan tiga kes positif.

“Hasil ujian lanjut yang dijalankan mendapati dua daripadanya menunjukkan kemungkinan varian Omicron, sementara keputusan bagi lain-lain kes masih lagi belum selesai.

“Mengambil kira perkembangan terkini yang dilaporkan oleh Singapura, KKM ingin memaklumkan penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL antara Malaysia-Singapura berkuat kuasa 23 Disember hingga 20 Januari 2022,” katanya.

Khairy berkata, bagi pengembara ynag telah memiliki tiket perjalanan VTL darat dan udara serta memenuhi syarat ditetapkan, boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif berkenaan.

Menurutnya, inisiatif VTL ini akan dibuka semula pada 21 Januari 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR