
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Lantikan anak perdana menteri, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan terus mendapat kritikan malah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disifatkan tidak layak memberi nasihat kepada kerajaan dalam bidang tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Dr Carmelo Ferlito menegaskan Naib Presiden PKR itu mungkin berkelayakan dalam bidang kejuruteraan dan hubungan antarabangsa namun dua bidang itu tidak berkaitan dengan bidang yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu.
“Beliau tidak mempunyai sebarang latar belakang khusus dalam bidang ekonomi atau kewangan. Walaupun ini tidak diperlukan untuk peranan politik utama seperti menteri atau timbalan menteri namun ia harus diwajibkan bagi penasihat dan pegawai kanan,” katanya lapor FMT.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusannya menawarkan jawatan penasihat tersebut kepada anaknya, Nurul Izzah sambil menegaskan anak sulungnya itu mempunyai dua ijazah iaitu ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat (AS).
Malah kata Pengerusi PH itu, beliau turut tidak mempunyai kelulusan berkaitan kewangan namun dilantik menjadi menteri kewangan selama lapan tahun sebelum ini.
Beliau turut menegaskan Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun bagi jawatan tersebut.
Dalam pada itu Ferlito menegaskan dibayar atau tidak bukan isunya.
“Harga sebenar politik yang dibayar oleh rakyat bukanlah gaji tetapi kesan daripada dasar yang tidak baik.
“Walaupun berpandukan niat yang baik, dasar yang tidak baik boleh merosakkan sesebuah negara. Kita telah melihatnya dengan harga siling atau larangan terhadap pekerja asing,” katanya.
Malah Ferlito turut memberi amaran bahawa Malaysia tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan isu struktur dalam ekonomi memandangkan cabaran bakal dihadapi negara.
Selain itu, Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan berpendapat langkah Anwar itu bertentangan dengan desakannya sebelum ini mengenai urus tadbir baik yang menghalang amalan nepotisme.