Covid-19: Norma baharu PRN Melaka

Pada saat pandemik Covid-19 melanda dunia dan Malaysia, negara sekali lagi terpaksa mengadakan satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Lebih menggusarkan, PRN ini perlu melalui kaedah pengundian atau kempen pilihan raya secara norma baharu dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengundi atau daftar pemilih.

Walaupun jumlah vaksinasi populasi dewasa rakyat Malaysia telah melebihi tahap 95 peratus, namun langkah berwaspada tetap perlu diambil bagi mengelakkan PRN berkenaan mencetuskan kluster baharu Covid-19.

Bagi prosedur perjalanan hari mengundi, Pemandu Arah Pusat Mengundi (PAPM) akan menjalankan saringan suhu badan kepada individu yang memasuki pusat mengundi dan pengundi perlu sanitasi tangan serta memakai pelitup muka.

Individu yang bergejala atau demam dengan suhu melebihi 37.4 darjah celcius tidak dibenarkan masuk ke tempat mengundi dan akan dibawa ke tempat mengundi khas (khemah pengundi bergejala) yang dikendalikan petugas KKM.

PAPM akan menguruskan pengundi bergejala yang ditempatkan di tempat mengundi khas itu dengan membawa dokumen pengenalan pengundi kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) saluran asal tempat pengundi mengundi.

Ejen barung juga disaran memainkan peranan dalam memastikan proses pengundian di tempat mengundi khas itu dilaksanakan dan kertas undi pengundi akan dimasukkan dalam plastik dan disanitasi sebelum dimasukkan ke dalam peti undi.

Selain itu, pengundi perlu mengimbas kod QR MySejahtera atau merekod maklumat diri di luar sebelum masuk ke saluran pengundi manakala petugas media dan pemerhati yang diberikan pas SPR perlu mengimbas kod QR di pintu masuk pusat mengundi atau di khemah saringan suhu badan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan Dun memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dengan kemunculan  gejala Covid-19 pada hari mengundi termasuk komplikasi kandungan oksigen rendah, ‘Happy Hypoxia’.

Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen berkata, Hypoxia berpunca daripada pelbagai penyakit terutama paru-paru dan jantung yang menyebabkan kerosakan otak, paru-paru dan organ dalaman badan sekali gus membawa maut jika tidak dirawat segera. Katanya, keadaan itu berlaku apabila individu mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan kurang daripada 95 peratus.

“Tahap pernafasan pesakit Hypoxia boleh menjangkau sehingga 40 hingga 50 kali seminit berbanding kadar pernafasan normal antara 12 hingga 20 kali seminit.

“Kita juga akan melihat pesakit akan menjadi semakin risau dan panik selain tercungap-cungap kerana kesukarannya bernafas,” katanya.

Apa yang membimbangkan katanya, perkara sebaliknya berlaku kepada pesakit Covid-19 yang mengalami Hypoxia apabila tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

“Mereka kelihatan tenang, normal dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen mereka rendah maka sebab itulah golongan pesakit Covid-19 ini dipanggil ‘Happy Hypoxic’.

“Ini menyebabkan kekeliruan apabila doktor sukar mengenal pasti pesakit Covid-19 yang alami Hypoxia kerana otot pernafasan mereka tidak menunjukkan tanda sukar bernafas.

“Happy Hypoxia ini boleh menjadi pembunuh senyap kerana apabila masalah kekurangan oksigen ini tidak dapat dikesan dan dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, setiap isi rumah digalakkan memiliki alat mengesan kadar oksigen dalam darah, ‘Pulse Oximeterkerana pengesanan awal gejala ini boleh mengelakkan kematian dalam kalangan pesakit Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR