Norma baharu hakikat hidup bersama Covid-19, kata KJ

Menerima Covid-19 dalam kehidupan seharian sebagaimana amalan beberapa negara sejak akhir-akhir mungkin perlu dipraktikkan rakyat Malaysia bagi membolehkan lebih banyak sektor, terutama ekonomi, dapat dibuka.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata biarpun langkah baharu itu bakal diumumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan melonggarkan pemakaian pelitup muka.

“Kerajaan dan rakyat perlu menerima hakikat bahawa norma baharu menjadi sebahagian kehidupan baharu semua rakyat di negara ini.

“Walaupun semua sudah divaksin, namun rutin kehidupan semua perlu berubah dalam membolehkan lebih banyak sektor dapat dibuka manakala kehidupan kembali sedia kala.

“Biarpun langkah baharu akan diumumkan tetapi Kementerian Kesihatan tiada perancangan melonggarkan pemakaian pelitup muka kerana berdasarkan pengalaman negara lain yang melonggarkannya terpaksa menguatkuasakannya semula susulan kemunculan varian baharu,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Menteri Kesihatan baharu itu, kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baharu supaya ia mudah difahami dan tidak merumitkan dalam mempraktikkannya apabila fasa endamik dilaksanakan tidak lama lagi.

“Selain itu, kerajaan akan menggandakan usaha imunisasi dalam kalangan penduduk di negara ini bagi memastikan seramai mungkin mendapat vaksin dalam usaha mengurangkan risiko yang lebih teruk,” katanya.

Khairy berkata, pihak kementerian akan mempertingkatkan ketelusan dengan mempamerkan maklumat data penuh kepada orang ramai dalam membolehkan semua pihak dapat mengaksesnya.

“Bermula minggu hadapan, semua data akan dipamerkan dan kali ini, data yang diberikan adalah melebih data yang sedia ada seperti yang dipamerkan selama ini.

“Ini bagi memastikan tiada tuduhan bahawa kementerian menyembunyikan fakta dan melimndungi kerahsiaan melibatkan Covid-19,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, KKM akan memberi tumpuan segera dalam proses vaksinasi dan aspek pengukuhan kesihatan awam terhadap lima negeri yang sedang berdepan penularan kes Covid-19 yang tinggi.

Lima negeri terbabit ialah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Negeri ini bukan hanya akan menerima bekalan vaksin yang lebih tinggi tetapi juga sudah memulakan proses pemindahan tenaga kerja dan set perubatan daripada negeri yang tidak lagi memerlukan set dan tenaga kerja berlebihan.

“Ini adalah usaha untuk memastikan kes harian dan bilangan mereka yang terpaksa dimasukkan ke hospital atau mengalami gejala serius serta kes kematian dapat dikurangkan di negeri itu dan untuk seluruh negara,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR