Noor Hisham titip kata semangat kepada petugas kesihatan yang sedang ‘berperang’

Ketika orang ramai bergembira bersama keluarga tercinta pada Hari Raya pertama, para petugas kesihatan masih tidak berehat dan meneruskan perjuangan melawan pandemik Covid-19 yang semakin menular, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham juga menyambut Hari Raya bersama anak-anak buahnya yang sedang bertugas merawat pesakit di hospital dan menggesa orang ramai untuk bersama-sama membantu dalam peperangan melawan wabak Covid-19 yang sedang dihadapi negara.

“Peperangan masih berjalan dan warga Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan pertahanan terakhir bagi memutuskan rantaian COVID-19. Semoga terus berikhtiar dan cuba sedaya upaya bagi membebaskan negara daripada pandemik ini,” katanya lapor Bernama selepas membuat tinjauan di Hospital Putrajaya pada hari pertama Aidilfitri.

Setiap tahun, rutin berkunjung ke hospital merupakan tradisi Dr Noor Hisham yang akan menyantuni warga KKM sebagai tanda sokongan kepada barisan petugas hadapan kesihatan.

Jelasnya, petugas kesihatan masih tidak berpeluang untuk berehat dan semakin ramai yang sudah letih namun perjuangan tetap diteruskan demi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia.

“Petugas kesihatan telah ‘berperang’ untuk tempoh yang amat panjang, iaitu hampir 16 bulan. Kebanyakan kita telah pun lesu dan juga (letih) dari segi mental dan fizikal, tapi kalau kita tidak membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, maka ramai komuniti akan dijangkiti virus itu,” katanya lagi.

KKM juga, kata beliau, telah bersiapsiaga dengan penyediaan peralatan dan fasiliti kesihatan bagi menghadapi pandemik COVID-19 ditambah lagi jenis varian baharu virus yang dikenal pasti dalam negara.

Dr Noor Hisham mengulangi peringatan mesranya iaitu supaya rakyat sentiasa duduk rumah sekiranya tiada urusan penting dan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang lengkap berbaju Melayu berwarna kelabu lembut meluangkan masa kira-kira setengah jam di hospital berkenaan.

Sementara itu, seorang penolong pegawai perubatan di hospital berkenaan Mohamad Zahir Omar, 27, berkata biarpun sedih tidak dapat beraya di kampung, namun bersyukur diberi kesempatan berbakti kepada negara dan rakyat pada hari bermakna ini.

“Ini musim pandemik, dan menjadi tanggungjawab saya agar menjalankan tugas yang terbaik dalam memastikan kesihatan rakyat terbela,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Penyelia jururawat Kamsiyah Krosnin yang telah berkhidmat dengan KKM selama 24 tahun berkata beliau pernah bekerja pada Hari Raya Aidilfitri tujuh kali berturut-turut namun akur ia adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.

“Raya atau bukan raya, kita terikat dengan kerja dan perlu berkhidmat mengikut jadual yang ditetapkan. Emosi perlu diketepikan demi tugasan. Nyawa dan kesihatan individu lagi penting, lagi-lagi waktu pandemik ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR