Nombor giliran punca kesesakan di JPJ Wangsa Maju, kata polis

Orang ramai berkumpul di depan pintu utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju kelmarin untuk mengambil nombor giliran, tanpa mengikut SOP yang ditetapkan.

Tindakan orang awam yang berebut untuk mengambil nombor giliran menjadi punca kesesakan di depan pintu pagar utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis yang tiba di lokasi kejadian menyebabkan orang ramai bersurai bagi mengelak dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beberapa klip video yang menunjukkan orang ramai berkumpul di depan pintu masuk utama JPJ Wangsa Maju tanpa ada penjarakan, mula tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata tindakan orang awam berebut mendapatkan nombor giliran menjadi punca berlaku kesesakan itu.

Katanya, polis mendapat maklumat berhubung perkara itu selepas video menunjukkan sekumpulan individu tidak mengamalkan SOP PKP tular di Facebook.

“Hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang berpunca daripada orang ramai berebut memasuki premis berkenaan bagi urusan di kaunter JPJ yang mana hanya 50 nombor giliran diberi pada sesi petang.

“Keadaan itu diburukkan lagi dengan kehadiran orang ramai untuk menjelaskan saman tertunggak diberi diskaun hingga 70 peratus oleh JPJ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak keselamatan JPJ Wangsa Maju menghubungi polis untuk bantuan selepas keadaan tidak terkawal sebelum Pasukan Pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hadir di lokasi.

“Setelah melihat kehadiran pihak polis, orang ramai mula bersurai bagi mengelak dikenakan kompaun,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan fizikal boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19. Tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mereka yang masih ingkar,” katanya.

Ashari berkata, tarikh akhir pemberian diskaun sepatutnya berakhir 11 Jun ini namun ditukar kelmarin kerana sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ dalam PKP 3.0 dilaksanakan bermula semalam.

Katanya, ia mengakibatkan orang ramai mengambil kesempatan untuk menyerbu kaunter pembayaran saman pada saat akhir.

POPULAR