Nilai ringgit terus menyusut

Ringgit terus menyusut berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga transaksi disebabkan permintaan yang lebih tinggi untuk mata wang negara maju itu, yang seterusnya, mencerminkan keraguan peserta pasaran mengenai prospek pemulihan ekonomi global.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu jatuh kepada 4.2505/2515 berbanding dolar AS daripada 4.2330/2380 yang direkodkan semasa Jumaat lalu, lapor Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar US (DXY) meningkat kepada lebih daripada 100 mata, yang memberi isyarat bahawa pasaran agak berhati-hati dengan prospek pemulihan ekonomi global.

“Selain itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama China pada 4.8 peratus adalah lebih tinggi daripada yang dijangkakan, tetapi ia masih menunjukkan bahawa ekonomi kedua terbesar di dunia itu mungkin akan berkembang pada tahap yang lebih lemah dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Rizab Persekutuan AS yang agak agresif juga akan menjejaskan sentimen pasaran dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1228/1240 daripada 3.1198/1242 yang dicatatkan pada Jumaat lalu dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3569/3579 daripada 3.3465/3510 sebelumnya.

Mata wang tempatan adalah lebih mantap berbanding pound British pada 5.5303/5316 daripada 5.5308/ 5374 dan melemah berbanding euro kepada 4.5867/5878 daripada 4.5776/5830.

BERITA BERKAIT
POPULAR