Nilai ringgit dibuka rendah

Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini apabila mata wang AS itu terus mengukuh di tengah-tengah ketidaktentuan keselamatan dan jaminan tenaga di Eropah, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.2320/2370 berbanding dolar AS daripada 4.2220/2255 pada penutup Rabu, lapor Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebimbangan itu muncul apabila kerajaan Russia meminta bayaran dibuat dalam mata wangnya untuk penyelesaian urus niaga gas.

“Ini telah menimbulkan ketidaktentuan lebih lanjut mengenai keselamatan tenaga di Eropah yang banyak bergantung kepada Russia untuk input gasnya. Pengumuman itu telah menyebabkan peningkatan mendadak mata wang ruble Russia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan sebegitu juga mengakibatkan dolar AS terus meningkat, dengan Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.13 peratus kepada 98.623 mata.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal lemah kerana pelabur tidak pasti bagaimana urus niaga gas di Eropah boleh diselesaikan, dan apakah maknanya kepada keselamatan tenaga di rantau itu,” katanya.

Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit diunjur bergerak sekitar RM4.22 hingga RM4.23 hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1173/1212 daripada 3.1094/1122 pada hari Rabu dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5862/5928 daripada 5.5849/5895 sebelumnya.

Ringgit juga turun berbanding yen kepada 3.4987/5031 daripada penutup Rabu pada 3.4893/4924, dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.6565/6620 daripada 4.6446/6485 semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR