Nilai R-naught Covid-19 di Negeri Sembilan terus membimbangkan

Sebelas negeri kekal merekodkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 melepasi nilai R-naught (Rt) 1.00, dengan Negeri Sembilan kekal tertinggi pada nilai 1.13, turun berbanding Rt 1.16 mengikut jangkaan kes pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 bagi seluruh negara pada jangkaan mengikut kes seharian semalam adalah 1.09.

Malaysia menggunakan ukuran kadar kebolehjangkitan atau Rt bagi menentukan berapa cepat virus Covid-19 boleh merebak. Dalam kata lain jumlah individu yang positif dijangkiti secara purata oleh seorang kes positif.

Sekiranya R-naught adalah dua, jumlah kes jangkitan akan berlipat ganda iaitu seorang kes positif menjangkiti dua orang lagi. Dua orang kepada empat orang, empat orang kepada lapan orang dan seterusnya.

Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Namun menurut pakar kesihatan, kadar kebolehjangkitan berapa pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Statistik yang dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan Johor yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi mencatat kadar kebolehjangkitan kedua tertinggi iaitu sebanyak Rt 1.10.

Ini diikuti, Kedah sebanyak Rt 1.09; Kuala Lumpur (1.07); Selangor (1.05); masing-masing Rt 1.03 bagi Pulau Pinang serta Melaka; Pahang dan Sabah (1.01); dan Kelantan serta Perak (1.00).

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan 201 kes baharu, turun berbanding 238 kes pada Isnin, manakala Johor pula mencatat 567 kes baharu semalam berbanding 450 pada Isnin.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR