Negara sambut kemerdekaan ke-65 semasa kemelut politik masih berterusan

August 31, 2022 · Isu semasa

Hari ini negara menyambut sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 sejak dibebaskan daripada cengkaman penjajah British, pelbagai kejayaan dan pembangunan sudah berjaya dikecapi dalam menempuh onak duri sejak 31 Ogos 1957.

Sejak negara merdeka sehingga hari ini juga, sudah ada sembilan Perdana Menteri dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sebanyak tiga Perdana Menteri bertukar untuk satu penggal pentadbiran negara.

Begitulah uniknya sistem demokrasi negara, seseorang yang dilantik untuk menjadi Perdana Menteri perlu memiliki majoriti dan ia perlu dibuktikan terlebih dahulu sokongan tersebut.

Bagaimanapun, sejak berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat Malaysia bukan sahaja mencatatkan sejarah dengan menumbangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) buat kali pertama tetapi juga memiliki tiga orang Perdana Menteri.

Malah, satu lagi sejarah tercatat apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi bekas Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan kerana kesalahannya mencuri wang rakyat selepas kekal didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Sepanjang empat tahun ini, pelbagai drama dan episod kemelut politik negara, malahan ia dilihat tidak pernah berhenti.

Pertukaran kerajaan pada 2018 sangat signifikan kepada negara kerana ia menunjukkan betapa dinamiknya politik negara, lebih penting lagi adalah mana-mana parti politik tidak lagi boleh memainkan hati dan menipu rakyat dengan sewenang-wenangnya.

Ia juga membuktikan rakyat sedia menukar mana-mana kerajaan yang dilihat tidak sensitif dengan kesusahan dialami mereka, hegemoni kuasa UMNO-BN selama menjadi kerajaan berjaya dipecahkan semasa PRU-14 lalu.

Sejak 2018 juga, politik negara tidak pernah sunyi dengan kontroversi dan sehingga hari ini masih berterusan.

Pada hujung minggu lalu, semua parti politik mengadakan perhimpunan masing-masing sebagai persediaan untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka akan diadakan juga pada tahun ini.

PRU-15 pada tahun ini nampaknya seakan tidak boleh lagi dielak, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berdepan dengan ancaman partinya sendiri yang berterusan mendesak agar Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan.

Untuk rekod, Ismail Sabri adalah Perdana Menteri ketiga dilantik pada penggal ini selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkomplot dengan anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Untuk rekod juga, Anwar sejak 1998 selepas disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri juga masih gagal sehingga hari ini untuk menjadi Perdana Menteri disebabkan pelbagai skandal peribadinya.

Walaupun dijanjikan bakal menjadi Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU-14, namun Dr Mahathir sekali lagi tidak menunaikan janjinya itu dan bermulalah kemelut politik berterusan sehingga hari ini.

Drama politik negara berlarutan dan berpanjangan walaupun semasa negara sedang berdepan cabaran pandemik Covid-19, kesusahan rakyat seakan tidak diendahkan apabila pemimpin politik PKR dan UMNO sibuk mencatur strategi masing-masing kerana mahu memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Ketika Muhyiddin sibuk menguruskan isu soal vaksin dan memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas akibat penularan Covid-19, ketika itu jugalah Anwar bersama Zahid sibuk mencari jalan menjatuhkan kerajaan.

Bukannya Anwar tidak tahu anak muridnya itu sedang tersepit dengan kes mahkamah, tetapi masih juga mahu berkomplot asalkan matlamat peribadi dapat dicapai.

Hubungan rapat mereka diketahui umum, kedua-dua mempunyai hubungan akrab semasa Anwar menjadi Timbalan Presiden UMNO dan ketika itu Zahid adalah Ketua Pemuda. Semasa pemecatan Anwar, sempatlah juga Zahid mengikut ke sana sini dan ditangkap pihak berkuasa dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kesepakatan kedua-dua mereka berjaya menumbangkan kerajaan PN, tetapi mujur bukan Zahid yang terpalit dengan kes mahkamah diangkat menjadi Perdana Menteri.

Kini, negara semakin menghampiri PRU-15 yang sepatutnya diadakan pada tahun depan, bagaimanapun Zahid dan konco-konco Kluster Mahkamah tetap tidak bersabar mendesak agar diadakan juga pada tahun ini.

Semua ini berpunca selepas Najib dijatuhi hukuman, Zahid pastinya tidak mahu mengikut jejak sama dengan rakan karibnya untuk duduk sebelah bilik di Penjara Kajang nanti.

Bagi Zahid, PRU-15 perlu diadakan tahun ini bagi menyelamatkan dirinya terlebih dahulu daripada menjadi seperti Najib, kononnya ia bagi menjaga kebajikan dan membela kepentingan rakyat adalah retorik semata-mata.

Kemelut politik ini dijaga berterusan selagi matlamat dan kepentingan peribadi individu tertentu tidak dipenuhi, malangnya yang terpaksa menanggung beban ini adalah rakyat kerana terpaksa melayan karenah orang politik.

Keadaan dahulu dan kini sudah agak berbeza, rakyat semakin celik dengan maklumat hanya di hujung jari. Berita sekarang cepat sampai dan begitu mudah tular, berbeza sama sekali semasa zaman dahulu.

Jika seorang ahli politik bercakap bukan-bukan dengan cepat ia akan menjadi bahan ejekan dan kecaman orang ramai khususnya warganet, pasti selepas itu akan keluar pelbagai video troll atau “menganjing” yang akan tular sebagai tanda menyindir ahli politik.

Oleh sebab itu, ahli politik sekarang perlu lebih berwaspada dan sensitif dengan rakyat, mereka tidak boleh lagi bertindak sesuka hati seperti dahulu kerana setiap pergerakan mereka akan menjadi perhatian masyarakat.

Yang pastinya, rakyat akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-65 ditengah-tengah kemelut politik yang tidak mempunyai noktah. Layan sajalah drama politikus selagi cita-cita peribadi mereka tidak dipenuhi.

Merdeka, merdeka, merdeka!!!

Berita berkaitan
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024· Isu semasa
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024· Politik
DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme
April 1, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Hubungi 997 jika kena scam
October 14, 2022
Iklan ‘duit raya’ GDBET333 dinyahaktif
April 16, 2021
Hijrah Diri Jakim bantu LGBT kena serang, dikeluarkan dari Google Play
March 18, 2022
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok