[KEMAS KINI] Negara berdukacita, 257 kematian direkod hari ini

Seiring dengan lonjakan jangkitan harian yang mencecah hampir 20,000 kes hari ini, negara berdukacita apabila kes kematian dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak ke paras tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu 257 pesakit meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, jumlah tertinggi sejak wabak itu mula dikesan di negara ini pada Mac tahun lalu.

“Angka itu, termasuk 31 bukan rakyat Malaysia, mengangkat keseluruhan jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 kepada 9,855 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini sebanyak 12,704 pesakit lagi disahkan sembuh menjadikan keseluruhannya 962,733 pesakit sembuh berbanding jumlah kumulatif kes sebanyak 1,183,110 kes.

Sebanyak 210,522 kes lagi masih aktif, manakala 1,069 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 553 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdahulu Dr Noor Hisham memaklumkan daripada 19,819 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, 3,040 pesakit membabitkan bukan warganegara Malaysia, dengan 3,026 kes adalah penularan tempatan dan 14 kes import.

Beliau berkata daripada jumlah kes harian yang dilaporkan itu sebanyak 375 kes atau 1.9 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala 19,444 kes (98.1 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 3,592 kes atau 18.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 35 kluster baharu dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 3,796 kluster dengan 2,635 telah ditamatkan dan 1,161 masih aktif.

Dr Noor Hisham berkata 20 kluster iaitu yang paling banyak dikesan membabitkan penularan dalam komuniti, 14 kluster tempat kerja dan satu kluster keagamaan.

Kelantan menjadi negeri paling banyak melaporkan kluster komuniti membabitkan daerah Tumpat; Jeli; Pasir Puteh; Bachok; dan Kota Bharu. Keseluruhan jangkitan melibatkan 169 individu.

Sarawak dan Perak pula masing-masing merekodkan empat kluster komuniti dengan jangkitan di Kampung Bintawa Hilir di Kuching merekodkan angka tertinggi sebanyak 159 individu. Kluster komuniti juga dikesan masing-masing satu di Sabah, Selangor dan Terengganu.

Sementara itu, enam kluster tempat kerja dikesan di Selangor membabitkan 344 individu, dengan kluster Industri Batu Tujuh Perepat di Klang mencatatkan jangkitan tertinggi melibatkan 106 individu.

Kelantan turut merekodkan tiga kluster tempat kerja dan satu kluster keagamaan; Johor (dua kluster tempat kerja); dan masing-masing satu kluster tempat kerja di Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 3 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Kelantan (nilai RT 1.31) diikuti oleh Terengganu (nilai RT 1.27), dan Perak (nilai RT 1.24). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Perlis, dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR