Nama Najib muncul dalam kes Roger Ng di Mahkamah Persekutuan AS

February 23, 2022 · Isu semasa

Saksi utama perbicaraan rasuah bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng memaklumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Lloyd Blankfein bertemu bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak pada 2009 bagi membincangkan urus niaga bon bernilai AS$6.5 bilion untuk dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan pertemuan itu diadakan dengan agenda lain.

Sebagai balasan untuk urus niaga bon yang menguntungkan itu, Goldman akan mendapatkan kerja buat tiga anak Najib di bank itu, kata bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner memberitahu juri pada Selasa berhubung skim 1MDB.

Leissner, 52, menerangkan sejauh mana dia dan pegawai bawahannya Ng berperanan dalam membantu pembiaya Malaysia Jho Low untuk mencuri berbilion-bilion dolar daripada dana 1MDB.

“Baru sahaja bertemu tiga anak PM dengan Jho di apartmennya. Kami akan berusaha untuk mendapatkan mereka menyertai GS,” Leissner membacakan e-mel yang dihantar Ng kepadanya di hadapan juri Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York.

Leissner menjawab kepada Ng: “Kedengarannya bagus kawan saya. Suruh mereka masuk.”

Akhirnya, Leissner memberitahu juri, dia hanya membantu mendapatkan pekerjaan kepada anak perempuan Najib di TPG (TPG Capital).

Ia merupakan hari kedua Leissner memberi keterangan dalam perbicaraan Ng, bekas ketua pelaburan bank itu di Malaysia.

Pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pada tahun 2018, Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan serupa dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan.

Leissner dan anak syarikat Goldman Sachs telah pun mengaku bersalah dalam kes itu, manakala Jho Low, seorang pembiaya bebas yang suka menganjurkan parti mewah di Las Vegas dan Los Angeles, kekal sebagai pelarian.

Leissner menambah, Ng memberitahunya bahawa Najib akan datang ke New York untuk melawat anak-anaknya di Amerika Syarikat (AS) pada cuti ‘Thanksgiving’ dan Low berpendapat ia akan menjadi peluang yang baik untuk Blankfein dan Najib bertemu serta mempromosikan urus niaga bon.

Pertemuan itu, di Hotel Four Seasons, berlangsung walaupun selepas laporan New York Post diedarkan dalam kalangan kakitangan Goldman yang menggambarkan Low sebagai “graduan Wharton (Wharton School of the University of Pennsylvania) 20-an dari Malaysia yang telah menghabiskan ratusan ribu dolar di tempat-tempat hiburan malam paling hangat di bandar ini”.

Untuk mengaburkan peranan Low dalam usaha mengumpul dana buat 1MDB, Leissner memberi keterangan, dia dan Ng tampil dengan nama kod untuknya termasuk Friend dan PMO (untuk pejabat Perdana Menteri Malaysia).

Leissner memberitahu mahkamah bahawa dia dan Ng – bersama pegawai kanan Goldman termasuk Andrea Vella, bekas ketua bersama perbankan pelaburan di Asia – menggunakan nama kod itu untuk menyembunyikan tahap penglibatan Low dalam projek pengumpulan dana daripada orang lain di bank itu.

“Sekiranya kami menimbulkan namanya dalam kapasiti sebenar, kami tidak akan mendapat kelulusan” pegawai pengawasan Goldman, kata Leissner. “Ia adalah bendera merah yang akan menghentikan transaksi itu.”

Pada masa sama Leissner memberitahu satu perjanjian yang dicadangkan Low ialah mengupah Goldman untuk mengusahakan pembelian lombong emas Kazakhstan.

Menurut Leissner lagi Low adalah individu penting dalam membantu Goldman memenangi perniagaan di Malaysia kerana dia bukan sahaja “pembuat keputusan utama” dalam menasihati penubuhan TIA (Terengganu Investment Authority), pendahulu 1MDB, tetapi juga secara rahsia memberi maklumat dalaman kepada bank-bank Goldman. – Agensi

Berita berkaitan
Permohonan Najib ketepi injunksi saman 1MDB beku aset RM681 juta ditolak
September 27, 2023· Isu semasa
RM4 juta masuk akaun Najib dari syarikat berkait Jho Low: Saksi
September 21, 2023· Isu semasa
AS$30 juta masuk akaun Najib daripada syarikat samaran: Saksi
September 19, 2023· Isu semasa
RM60.6 juta dipindahkan ke akaun Najib antara Feb-Jun 2011: Saksi
September 19, 2023· Isu semasa
Popular
Penolong pengurus hotel didakwa cabul kehormatan bekas pembaca berita
October 3, 2023
Jumlah hasil petroleum dibayar kepada Terengganu rendah, tak sampai RM1 bilion
October 3, 2023
Yasin diperintah bela diri tiga pertuduhan kes dadah
October 3, 2023
PMX kata akan umum berita baik pada Khamis selepas lawatan ke UAE
October 3, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Yasin diperintah bela diri tiga pertuduhan kes dadah
9 jam lalu · Isu semasa
Jumlah hasil petroleum dibayar kepada Terengganu rendah, tak sampai RM1 bilion
17 jam lalu · Isu semasa
Penolong pengurus hotel didakwa cabul kehormatan bekas pembaca berita
18 jam lalu · Isu semasa
PAS tak fail rayuan keputusan Parlimen Kemaman, sedia hadapi PRK
18 jam lalu · Isu semasa
PMX kata akan umum berita baik pada Khamis selepas lawatan ke UAE
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar kena tenang tak perlu agresif, Pelangai tetap pilih PN
4 jam lalu
[VIDEO] Malaysia macam negara miskin sejak Anwar Ibrahim jadi PM
6 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok