Nama calon Timbalan Ketua Polis Negara akan dibincang dalam SPP: Acryl

Nama calon bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara akan dihantar kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk pertimbangan, kata Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Ketua Polis Negara berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti dan menyenarai pendek nama calon yang layak dan perbincangan akan diadakan bersama Menteri Dalam Negeri bagi menentukan individu yang dipilih untuk memegang jawatan nombor dua dalam pasukan polis itu.

”SPP akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan saya.

“Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara ini perlu disegerakan untuk membantu saya dalam menguruskan PDRM. Mesyuarat SPP akan berlangsung untuk menentukan siapa Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu,” katanya lapor Bernama.

Acryl Sani berkata pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara itu dijangka diumum selepas Aidilfitri.

Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang sebelum ini disandang Acryl Sani kosong berikutan pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak perkhidmatan pada 3 Mei.

Sebelum ini, antara nama yang disebut-sebut mengisi kekosongan jawatan itu berdasarkan kekananan ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Datuk Zamri Yahya; Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Ramli Din; dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Razarudin Hussain.

Sementara itu, mengulas mengenai pendedahan Abdul Hamid berhubung dakwaan campur tangan menteri dalam Cawangan Khas Bukit Aman, Acryl Sani berkata kertas inkuiri (siasatan dalaman) polis berhubung kes itu telah dibuka.

BERITA BERKAIT
POPULAR