Najib, Zahid ketepi amaran bekas Panglima TLDM isu LCS: Mat Sabu

August 4, 2022 · Isu semasa

Bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong hari ini menggesa Putrajaya mengadakan sidang Parlimen khas untuk membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu ditugaskan untuk menjawab perkara itu di Parlimen.

“Kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memperuntukkan satu hari pada awal September untuk membahaskan perkara ini supaya kita dapat mencari jalan penyelesaian berhubung perolehan itu.

“Kami juga akan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim untuk menarik perhatian beliau dalam menugaskan satu hari semasa persidangan dari 8 hingga 16 Ogos untuk perbahasan laporan PAC kerana persidangan Parlimen akan berakhir hari ini,” kata mereka.

Laporan berhubung perolehan kapal itu dibentangkan di Parlimen hari ini.

Kedua-dua mereka berkata perolehan enam LCS yang dijalankan secara rundingan terus dengan nilai kontrak RM9.128 bilion merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dan juga antara projek terbesar kerajaan Malaysia.

“Kontrak perolehan LCS yang bermula dari 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 bertujuan meningkatkan keupayaan TLDM. Namun sehingga hari ini tiada LCS yang disiapkan,” tambah mereka.

Ketika Mohamad Sabu menjadi menteri pertahanan, mereka berkata Jawatankuasa Siasatan Khas bagi Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang telah ditubuhkan pada Mei 2018 untuk menyiasat projek yang mencurigakan – tetapi gagal selepas pentadbirannya tamat.

Kedua-duanya turut menyokong cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyahklasifikasi laporan perolehan enam LCS dan juga laporan audit forensik projek LCS oleh Boustead Naval Shipyard (BNS).

Mereka menegaskan bahawa BNS melantik syarikat audit forensik, Alliance IFA pada 2019 untuk menjalankan audit forensik dalam usaha mengenal pasti sama ada terdapat kebocoran, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam perolehan LCS.

Mereka juga berkata surat kepada bekas Panglima Tentera Laut itu juga harus didedahkan.

“Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar merupakan Panglima Tentera Laut mulai 1 April 2008 sehingga 17 November 2015. Dalam prosiding PAC, beliau memaklumkan telah mengemukakan sekurang-kurangnya 10 surat teguran, surat tidak puas hati dan surat untuk memaklumkan jawatan TLDM kepada ketua setiausaha kerajaan, lima surat kepada menteri, satu surat kepada ketua setiausaha Perbendaharaan, satu surat kepada ketua setiausaha kementerian, dan dua surat kepada perdana menteri.

“Surat-surat itu dihantar kerana beliau mendapati terdapat sesuatu yang luar biasa berlaku dalam proses perolehan di mana perolehan dilakukan oleh kerajaan bagi pihak TLDM sebagai pengguna, tetapi kuasa penuh diberikan kepada BNS,” katanya.

Mereka berkata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama sekali tidak mengendahkan amaran yang dibangkitkan oleh Abdul Aziz mengenai perolehan LCS.

Mereka juga terkejut dengan cadangan yang dibuat oleh syarikat BNS pada Jun 2021 mengenai kontrak atau buku pesanan dengan nilai RM53 bilion daripada kerajaan bagi tujuan mendapatkan pinjaman melalui sukuk (bon) berjumlah RM4 bilion untuk memulihkan projek LCS.

“Cadangan buku tempahan RM53 bilion daripada Kerajaan adalah untuk kerja-kerja Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih untuk tempoh 30 tahun.

“Cadangan untuk BNS diberikan buku pesanan bernilai RM53 bilion untuk tempoh 30 tahun adalah tidak rasional,” kata mereka.

Mereka menambah bahawa pengumuman Hishamnudin mengenai meneruskan projek LCS pada 20 April tidak dimaklumkan kepada sesiapa termasuk PAC, mengenai butiran peruntukan dana dan had masa.

Terdahulu, PAC mendedahkan tiada sebuah pun Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disiapkan walaupun kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek itu.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata kontrak projek itu diberikan kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina lima LCS.

Isu berkaitan LCS semakin menarik apabila pada Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan dua ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat susulan penemuan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam LCS oleh Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan yang disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki itu menyatakan individu yang masing-masing berusia 49 dan 79 tahun adalah CEO syarikat yang terlibat dalam projek tersebut dan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 24 Januari.

Kedua-dua individu terbabit disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Salah seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada subkontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Sumber itu berkata siasatan kes tersebut tertumpu kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Pada 21 November lalu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, membuat laporan kepada SPRM berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.

Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal tersebut secara serentak.

Untuk rekod, enam LCS kelas Frigat akan dilengkapi peralatan dan sistem untuk peperangan empat dimensi antaranya sistem Surface to Air Missile (SAM), Surface to Surface Missile (SSM), Medium Caliber Gun (MCG), Small Caliber Gun (SCG), Towed Array Sonar (TAS), Torpedo dan juga Decoy Launching System (DLS) yang canggih.

Selain itu, LCS yang diperolehi ini mempunyai reka bentuk stealth yang moden dan bakal memenuhi keupayaan pertahanan abad ke-21. Perolehan ini akan turut mengukuhkan TLDM sebagai sebuah angkatan laut yang kredibel di rantau Asia Tenggara dan antarabangsa.

Berita berkaitan
Tindakan beku akaun Bersatu, DAP paling suka lihat parti Melayu ditindas?
17 jam lalu· Politik
UMNO semakin hilang sokongan, ahli baharu kurang dan yang ada pula keluar: Ismail Sabri
17 jam lalu· Politik
Parti dalam PH jangan terima pemimpin UMNO dipecat dan digantung: Mat Maslan
February 4, 2023· Politik
Johari sahkan Mohammed Iqbal adalah anaknya, sama dalam web rasmi Parlimen
February 3, 2023· Isu semasa
Popular
‘Kumpulan tuntut, serang Sabah bukan waris sah Sultan Sulu’
February 5, 2023
Sayur pula naik harga, kerajaan PH-BN gagal selesai masalah rakyat
February 5, 2023
Exco Selangor sahkan pembukaan tanah di Taman Negeri untuk pelaksanaan ECRL
February 4, 2023
Kumpulan terus desak pengeluaran KWSP bersasar, gesa kerajaan kasihani rakyat
February 4, 2023
Lagi Isu semasa terkini
580 mangsa banjir di 3 negeri pindah ke tujuh PPS hingga malam ini
7 jam lalu · Isu semasa
Sayur pula naik harga, kerajaan PH-BN gagal selesai masalah rakyat
8 jam lalu · Isu semasa
‘Kumpulan tuntut, serang Sabah bukan waris sah Sultan Sulu’
8 jam lalu · Isu semasa
Kanser serviks kerap serang wanita muda
17 jam lalu · Isu semasa
Elak rakyat muflis, CUEPACS cadang panjangkan tempoh bayaran pinjaman
February 4, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Perikatan ada peluang menang PRN, yang pasti UMNO ‘bungkus’
February 3, 2023
[VIDEO] Beku akaun Bersatu, sabotaj Perikatan menang PRN enam negeri
February 2, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok