Najib ugut saman isu ‘darah Cina’ tapi Chegubard kata salah tembak

Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard menyifatkan Datuk Seri Najib Razak tersalah ‘tembak’ apabila menyatakan hasrat hendak menyaman beliau susulan artikel disiarkan sebuah laman blog semalam.

Beliau turut mencabar bekas Perdana Menteri itu menunjukkan di mana fitnah tersebut yang bersumberkan laman Facebook (FB) beliau.

Semakan mendapati blog berkenaan meletakkan gambar Chegubard yang disatukan bersama satu petikan didakwa dibuat Najib pada 1987 berbunyi ‘Biar kita basahkan keris ini dengan darah Cina’.

Berdasarkan laman FB Chegubard, beliau tidak pula menyatakan Najib mengeluarkan kenyataan sebagaimana petikan itu.

Semalam, Najib dalam kiriman di FB beliau mengugut akan menyaman Chegubard kerana kononnya mengeluarkan kenyataan seperti petikan berkenaan.

“Che’GuBard Original, saya beri peluang kepada kamu untuk nafikan artikel blog bertarikh hari ini.

“Kononnya kamu dakwa saya pernah kata saya nak basahkan keris dengan darah Cina berdasarkan satu keratan akhbar entah mana. Keratan akhbar dari mana? Bertarikh apa? Ataupun buatan sendiri?

“Saya bagi tempoh 24 jam untuk nafikan. Jika tidak, saya akan saman kamu berhubung artikel tersebut. Jika bukan, pergi lapor polis bahawa nama kamu sudah disalah guna,” kata Najib.

Semakan juga mendapati Najib tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti petikan demikian.

Mengulas lanjut, Chegubard bagaimanapun berkata beliau tidak ada kena mengena dengan cerita yang disiarkan blog berkenaan.

“Najib Razak konon ugut nak saman dan kaitkan cheGuBard dengan satu blog yang cheGuBard tak ada kena mengena.

“Maka sila rujuk dan nyatakan dekat mana fitnah tersebut dari sumber cheGuBard sendiri bukan memetik mana mana blog atau sumber lain.

“Buat Najib, tak perlu memutar belit isu dan lari dari isu sebenar berkenaan korupsi dan penyelewengan yang kamu, keluarga dan kawan kluster mahkamah kamu terkait dengan mengalih kepada isu isu kenyataan politik semata-mata,” kata Chegubard hari ini.

Beliau juga mencabar Najib menyaman berhubung kiriman yang lebih serius seperti disiarkan dalam FB beliau semalam berkaitan pendedahan pakar forensik akaun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenai isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor menerima barang kemas dan beg tangan bernilai lebih RM130 juta.

Dalam kiriman itu, Chegubard memetik pakar forensik Eric Van Dorn menyerahkan pelbagai dokumen yang turut menyatakan Najib menerima kira-kira RM3.1 bilion, Rosman (sekitar RM130 juta), dan anak tiri Najib, Riza Aziz (sekitar RM1.0 bilion).

Menurut Cikgubard, jumlah keseluruhan kira-kira RM4.3 bilion itu adalah bersamaan dengan 9 peratus belanjawan pembangunan negara 2018 kerajaan Barisan Nasional dan UMNO sebanyak RM47 bilion.

BERITA BERKAIT
POPULAR