Najib tolak tawaran Zeti dijadikan saksi pembelaan, dedah pendakwa raya

Bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah ditawar sebagai saksi kepada pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak tapi ditolak sebelum ini, dedah pendakwa raya.

Pendedahan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed berhubung tawaran tersebut dibuat sebagai bantahan terhadap permohonan Najib yang mahu mengemukakan bukti baharu bersabit kes rasuah RM42 juta SRC International (SRC).

Selain itu, Budiman juga mempersoalkan mengapa Najib mengambil masa yang lama untuk mengemukakan bukti tersebut walhal tawaran sama sebelum ini ditolaknya.

“Zeti telah ditawarkan kepada pemohon (Najib) semasa akhir kes pendakwaan untuk dipanggil sebagai saksi pembelaan. Namun pemohon memilih untuk tidak memanggilnya untuk memberi keterangan atau untuk ditemu duga untuk tujuan dipanggil sebagai saksi untuk membuktikan kes pembelaan.

“Pemohon telah mengambil masa lebih kurang 11 bulan dan beberapa hari sebelum tarikh Mahkamah Rayuan dijadualkan untuk memberi keputusan.

“Kelewatan ini dan permohonan untuk mengemukakan keterangan yang tidak relevan tetapi dikatakan sebagai keterangan baru kepada pertuduhan menunjukkan permohonan ini mala fide (berniat buruk),” katanya lagi dalam afidavit yang dibuat pasukan pendakwa raya.

Afidavit itu sebagai respons kepada permohonan Najib yang dibuat pada 2 Disember lalu.

Bagaimanapun, Najib mengambil langkah untuk mengemukakan afidavitnya pada saat akhir sebelum keputusan rayuannya pada Rabu ini.

Dalam afidavitnya, Najib antara lain mendakwa bukti yang relevan untuk pembelaannya disembunyikan daripada pasukan peguamnya ketika perbicaraan.

Antara apa yang disifatkan bukti baru yang ingin dikemukakan Najib adalah yang berkaitan dengan perbankan Singapura dan maklumat kewangan keluarga Zeti.

Pendedahan pendakwa raya itu sangat signifikan apabila Najib seakan cuba menggunakan alasan bukti baharunya untuk menangguhkan keputusan mahkamah yang sepatutnya dijadualkan pada Rabu ini.

Esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan afidavit Najib yang mahu bukti baharu dimasukkan dalam perbicaraan kesnya melibatkan SRC tersebut.

Jika berjaya permohonan Najib, berkemungkinan keputusan pada Rabu yang sepatutnya diputuskan Mahkamah Rayuan akan ditangguh dan memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri itu untuk masih bebas seperti bukan seorang pesalah.

Najib sebelum ini disabitkan bersalah serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR