Najib terpalit kes mahkamah juga perlu diberi peranan bantu kerajaan

Timbul desakan dalam UMNO yang mahu Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan puluhan kes mahkamah ketika ini juga diberikan peranan dalam kerajaan untuk memberi sumbangan dalam menguruskan krisis kesihatan Covid-19 yang dihadapi negara.

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob difahamkan diberi tekanan oleh beberapa pemimpin UMNO untuk menyelit nama Najib agar diberikan peranan untuk membantu kerajaan, ia susulan langkah kerajaan melantik mantan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini.

Namun, ia bakal menimbulkan polemik dan persepsi berhubung kewajaran untuk memberi Najib peranan dalam kerajaan ketika kes mahkamah yang dihadapinya sedang berjalan.

Dalam laporan sebuah portal, cadangan untuk memberi Najib peranan dalam kerajaan dicadangkan oleh Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang menyifatkan Ahli Parlimen Pekan itu juga wajar diberikan peranan kerana kononnya mempunyai pengalaman dalam menguruskan dasar dan ekonomi sepanjang menjadi PM sebelum ini.

“Sewajarnya Najib juga turut diberikan peranan dalam kerajaan untuk menyumbang kepada proses pemulihan negara akibat Covid-19.

“Keupayaan Najib terbukti khususnya dari segi dasar dan ekonomi sepanjang sembilan tahun mengemudi negara, pelbagai program bantuan kepada rakyat diperkenalkan,” katanya dipetik laporan itu.

Berbeza dengan lantikan Muhyiddin yang meletak jawatan kerana hilang majoriti, Najib selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Najib itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Kes tersebut kini dalam peringkat rayuan selepas Najib merayu terhadap keputusan tersebut.

Pada 2018 lalu, Najib dihadapkan ke mahkamah berkaitan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion.

Untuk rekod, pada 4 September lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN sebagai mengharai peranannya sebelum ini.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia dibuat atas dasar keyakinan terhadap kemampuan mantan PM itu untuk menerajui strategi pemulihan akibat kesan wabak Covid-19.

Muhyiddin pula berkata MPN akan membantu kerajaan melalui fasa pemulihan seperti yang telah digariskan.

BERITA BERKAIT
POPULAR