
Ahli PArlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak.
Datuk Seri Najib Razak – yang terlibat dengan skandal kewangan terbesar dunia membabitkan 1Malaysia Development Berhad – mempertahankan tindakan menaik taraf Stadium Bukit Jalil pada 2015 lalu ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Sambil menempelak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pembinaan semula Stadium Alam Shah, bekas Perdana Menteri itu berkata RM1 bilion digunakan untuk menaik taraf Stadium Bukit Jalil pada tahun 2015 sebagai persediaan bagi Sukan SEA 2017.
Ahli Parlimen Pekan yang terlibat dengan tuduhan jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu berkata demikian sebagai mengulas komen Amirudin berhubung isu kedua-dua stadium itu.
Jumaat lalu, Amirudin ketika menjawab kenyataan Najib berhubung isu pembinaan semula Stadium Shah Alam mengingatkan bahawa Najib telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi menambah baik Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017.
Katanya stadium berkenaan yang siap pada 1998, empat tahun lewat berbanding Stadium Shah Alam, dipulih dan dinaik taraf antara 2016 sehingga 2017 untuk menjayakan penganjuran Sukan SEA.
“Ada pihak menganggarkan bahawa kenapa setelah 14 tahun, kita terpaksa bina semula atau selenggara (stadium) dengan kos begitu tinggi. Ia tuduhan (untuk) menunjukkan ketidakmampuan kita mengurus.
“Stadium Shah Alam siap dibina pada 1994, manakala Stadium Nasional Bukit Jalil 1998. Pada 2016 sehingga 2017, Stadium Nasional Bukit Jalil telah ditambah baik.
“Pada masa itu, Najib perdana menteri. Kalau hujah Najib dibandingkan dengan kita hari ini, ia seolah-olah menghina dirinya sendiri kerana luluskan peruntukan (RM1 bilion),” kata Amirudin.
Mengulas lanjut, Najib dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan perbandingan dibuat Amirudin itu lemah dan enggan mengakui kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menjaga Stadium Shah Alam, sehingga perlu dirobohkan dan dibina semula dengan kos RM787 juta.
“Dia kata Najib sama juga sebab pernah meluluskan bajet RM1 bilion untuk “naik taraf” Stadium Bukit Jalil pada tahun 2015 sebagai persediaan bagi Sukan SEA 2017.
“Eh.. “naik taraf” dengan roboh dan bina semula stadium sebab keadaan buruk pun dia tak faham? Naik taraf stadium Bukit Jalil termasuk membina bumbung yang boleh dibuka (retractable).
“Lagipun, bajet RM1 bilion ialah kos untuk menaik taraf dan memperbesarkan Kompleks Sukan Bukit Jalil – bukan Stadium Bukit Jalil sahaja.
“Kos itu termasuk untuk naik taraf Stadium Putra, Stadium Nasional, pusat akuatik, stadium hoki, asrama atlet selain turut membina beberapa kemudahan baharu di sekitar Bukit Jalil… lagi mau sembang,” katanya.