
Datuk Seri Najib Razak dibidas kerana tidak tahu malu apabila menipu lagi dengan mengatakan hutang kecurian yang berlaku melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dibayar dengan wang rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Najib masih cuba memutarbelit fakta walhal dirinya sudah disabit hukuman dalam kes SRC International Sdn Bhd, malah hutang-hutang yang ditanggung adalah jaminan yang diberikan oleh kerajaan semasa era bekas Perdana Menteri itu.
“Jenayah penyelewengan 1MDB dan SRC adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib.
“Di Parlimen semalam dia kata itu bukan duit rakyat. Itu duit Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain. Dia lupakah yang 1MDB menerbitkan bon-bon yang dijamin oleh kerajaan,” kata Muhyiddin semasa majlis Ikrar Aku Janji Integriti calon PN di Senai, Johor pagi ini.
Jelas Muhyiddin, apabila 1MDB gagal membayar hutang akibat pinjaman dan salah urus tadbir dilakukan mereka, semua beban hutang tersebut ditanggung kerajaan dan duit rakyat yang terpaksa digunakan untuk membayar hutang dicipta oleh Najib itu.
“Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039.
“Dalam RMK-12, sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah,” katanya lagi.
Muhyiddin menyifatkan kenyataan yang dibuat Najib semasa di Parlimen semalam jelas menunjukkan sifat seorang pemimpin yang tidak malu walaupun dirinya sendiri tidak beramanah.
“Najib juga kata gunalah duit yang dikutip semula daripada Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain untuk bayar hutang 1MDB.
“Inilah dia pemimpin yang bukan sahaja tidak amanah, tetapi tidak tahu malu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pasukan yang ditubuhkan untuk mencari duit 1MDB di luar negara adalah langkah diambil bawah pentadbirannya sebelum ini bagi mencari duit yang disorok tersebut untuk dibawa pulang ke negara.
“Yang pergi cari duit 1MDB yang disorok oleh Najib dan konco-konconya di luar negara itu ialah sebuah Pasukan Petugas Khas yang saya tubuhkan ketika saya menjadi Perdana Menteri.
“Saya arahkan mereka pergi ke luar negara berunding dengan pihak-pihak berkuasa beberapa buah negara untuk dapatkan kembali duit dan aset yang diseleweng dan masukkan semula ke akaun kerajaan Malaysia.
“RM20.5 bilion nilai keseluruhannya termasuk aset yang dirampas. Kalau Najib masih Perdana Menteri dia soroklah duit itu dan takkan masuk semula ke akaun kerajaan,” katanya lagi.