
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan kerajaan menaikkan harga minyak RON95, bagi mengekang golongan T20 mengambil kesempatan mengaut subsidi kerajaan.
Menurutnya subsidi minyak petrol secara pukal yang diberikan kerajaan menyebabkan ramai golongan T20 kini menggunakan RON95 kerana harga RON97 lebih mahal.
Berdasarkan rekod harga petrol mingguan pada 16 Jun hingga hari ini (22 Jun), RON97 dijual pada RM4.83 seliter, manakala RON95 (RM2.05 seliter), manakala diesel pula RM2.15 seliter.
“Hari ini, kerajaan memberi subsidi sekitar RM2.50 bagi setiap satu liter RON95 yang dijual pada harga RM2.05.
“Sebab itu, harga minyak RON95 Malaysia adalah antara 10 paling murah di dunia – jauh lagi murah banding Arab Saudi dan UAE.
“Bermaksud jika seorang dari golongan T20 mengisi 50 liter minyak RON95 bagi kereta mewahnya, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak RM125 setiap kali orang kaya isi minyak.
“Sekiranya orang kaya ini isi minyak 3 kali sebulan bermaksud kerajaan memberi bantuan RM4,500 setahun bagi orang kaya – lagi tinggi berbanding BR1M kepada B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata kerajaan pada masa pentadbirannya pernah menyelesaikan masalah dan ketidakadilan itu dengan mengapungkan harga minyak.
“Namun melihat kadar inflasi yang tinggi yang dialami seluruh dunia sekarang, ianya tidak sesuai untuk kita tarik subsidi minyak secara sepenuhnya pada ketika ini.
“Bagaimanapun, kerajaan boleh pertimbangkan untuk naikkan harga minyak RON95 sebanyak 10 sen atau 20 sen.
“Tapi jangan sentuh harga diesel pada ketika inflasi masih tinggi sekarang sebab ianya berkait langsung dengan kos pengeluaran, kos pengangkutan dan akhirnya akan memberi lebih tekanan kepada kadar inflasi,” katanya.
Najib juga mencadangkan kerajaan menaikkan duti eksport dan cukai ‘durian runtuh’ bagi sektor minyak sawit pada ketika dunia masih kekurangan bekalan dan harganya tinggi kerana ianya dibayar oleh pembeli iaitu orang asing, dan juga syarikat-syarikat perladangan besar – bukan dibayar oleh peneroka.