Najib sudah disabit hukuman tapi masih dijemput rasmi WCEF esok

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan bersalah dan dihukum penjara atas pertuduhan rasuah dijadual bakal merasmikan Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) 2021 esok.

Selain itu, Ahli Parlimen Pekan itu juga akan dijemput menghadiri majlis makan malam gala dan penganugerahan yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia di Hotel Sheraton, Petaling Jaya esok.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menyifatkan pertuduhan kes mahkamah terhadap Najib sebagai ‘memalukan negara’, namun beliau masih dijemput untuk memberi ucapan semasa majlis gala tersebut.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan sudah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bersalah atas tuduhan rasuah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Abdul Karim semasa membuat keputusan mengekalkan hukuman terhadap Najib menyifatkan tindakan menyeleweng wang dana SRC International Sdn Bhd sebagai ‘memalukan negara’.

Susulan keputusan itu, peguam Utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan pelaksanaan keputusan hukuman penjara bagi membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Untuk rekod, WCEF merupakan acara rasmi tahunan bertujuan untuk membincangkan masa depan dunia dengan pengawasan global China.

Tahun ini bakal menyaksikan lebih 250 perwakilan terdiri daripada pemimpin kerajaan, ketua industri dan usahawan baharu bagi membincangkan isu ekonomi melibatkan kuasa besar global yang semakin memuncak.

Selain itu, sesi perbincangan mengenai kegunaan multilateralisme dalam menangani krisis global serta akan memudahkan untuk berbincang mengenai Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI).

Antara ahli panel yang akan berucap dalam majlis itu termasuk Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk R. Ramanathan, Presiden Rangkaian Pemimpin Muda Asem Singapura, Soh Yi Da, rakan penyelidik Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Saizi Xiao, dan ketua penerangan Barisan Nasional Selangor, Isham Jalil.

Pada 16 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Malaysia akan terus berkerjasama dengan China melalui BRI kerana ia bakal membantu dalam pembangunan infrastruktur dan kerjasama.

Ismail Sabri mendakwa Malaysia merupakan negara terawal yang menyokong inisiatif tersebut kerana Malaysia mengiktiraf potensi ekonomi besar yang dipegang oleh China.

“Kerjasama ekonomi Malaysia dan China diperkukuh dengan pemeteraian program lima tahun untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan sejak tahun 2013 dan dengan BRI pada tahun 2017.”

Jelasnya, ketika berucap kepada perwakilan Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi Global China dalam ucapan prarakaman di Rasa Sayang Resort & Spa di Pulau Pinang hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR