Najib sakit mata, kes seleweng RM2.28 bilion dana 1MDB ditangguh sehari

Perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion membabitkan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan selepas bekas Perdana Menteri itu dilaporkan sakit mata susulan pembedahan dilakukan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan selepas dimaklumkan oleh peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Najib sedang cuti sakit selepas menjalani pembedahan mata pada Khamis lalu.

Katanya, Najib mengalami hematoma atau bengkak dan pandangan kabur, susulan daripada pembedahan tersebut dan diberikan cuti sakit selama tujuh hari.

“Bagaimanapun Yang Arif, berlaku pembentukan hematoma seperti yang biasanya dijangka (selepas pembedahan). Saya tidak mahu memberitahu mahkamah terlebih awal walaupun anak guam saya mendapat cuti sakit pada Khamis selama tujuh hari,” katanya memberitahu Mahkamah Tinggi.

Muhammad Shafee juga memberitahu mahkamah bahawa pandangan Najib sedikit kabur termasuk mengambil contoh anak guamnya tidak berupaya untuk menandatangani cek.

Ketika membenarkan penangguhan selama satu hari, Collin bagaimanapun berkata Najib hanya perlu duduk dan tidak perlu membaca atau melakukan apa-apa.

“Mungkin kita boleh cuba (prosiding) esok. Beliau diberikan rehat hari ini dan esok kita cuba… mengapa tidak kita datang di sini, berjumpa seperti biasa esok, dan sekiranya hematoma beliau bertambah baik, kita akan teruskan prosiding,” kata Collin.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

BERITA BERKAIT
POPULAR