Najib, Rosmah bercuti atas kapal layar di 3 negara, kata saksi kes 1MDB

May 9, 2022 · Isu semasa

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga mereka bercuti beberapa kali dengan menaiki kapal layar yang kononnya dimiliki oleh putera raja dari negara Timur Tengah di perairan Perancis, Greece dan Itali, beritahu bekas pembantunya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Najib ketika beliau menjadi perdana menteri (PM), mengesahkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, memaklumkan kepadanya berhubung jemputan daripada putera diraja itu kepada Najib dan keluarga untuk bercuti.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-16 dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan lebih RM2 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Wan Ahmad Shihab, 48, mengesahkan dia juga yang mengambil gambar beramai-ramai Najib dan keluarga di salah sebuah kapal layar berkenaan.

Menurutnya beliau mula-mula mengetahui tentang Jho Low ketika lawatan kerja Najib ke Washington DC di Amerika Syarikat pada sekitar 2007 atau 2008, dan anak Najib, Nor Ashman adalah sebahagian daripada delegasi kerja yang tinggal di Four Seasons Hotel.

Wan Shihab berkata beliau dan Nor Ashman turun ke lobi hotel dan terserempak dengan Jho Low yang duduk bersama beberapa individu tidak dikenali di sofa di situ, dan Nor Ashman telah menyapa Jho Low selepas melihatnya.

“Saya diberitahu oleh Ashman bahawa lelaki itu adalah Jho Low dan dia adalah abang kepada rakan keluarga Datuk Seri Najib iaitu Taek Szen.

“Tetapi saya tidak berkomunikasi dengan Jho Low ketika itu dan hanya melihatnya dari jauh. Itulah kali pertama saya melihat Jho Low,” katanya memetik laporan MalayMail hari ini.

Kemudian selepas Najib menjadi PM pada 2009, Wan Shihab berkata beliau telah tiga kali dihubungi oleh Jho Low secara berasingan dari 2009 hingga 2013 untuk memaklumkan bahawa Najib dan keluarganya telah dijemput untuk bercuti di atas kapal layar di Eropah.

Katanya Najib kemudiannya mengesahkan maklumat yang diberikan oleh Jho Low sebelum beliau (Wan Shihab) mula membuat persiapan untuk bercuti.

Untuk perjalanan ini, Wan Shihab mengesahkan bahawa Najib, Rosmah dan keluarga mereka telah terbang menggunakan pesawat milik kerajaan sebelum pergi ke kapal layar.

Untuk perjalanan pertama, Wan Shihab berkata Jho Low telah menghubunginya pada Ogos 2009 untuk memperkenalkan dirinya, sambil menambah bahawa ahli perniagaan itu telah berkata bahawa seorang putera Kuwait telah menjemput Najib dan keluarga untuk bercuti di selatan Perancis dengan kapal layar yang dikenali sebagai “RM Elegance” yang didakwa dimiliki putera raja dan sahabat putera Syeikh Hamed.

Selepas Jho Low memberikan butiran mengenai orang hubungan bernama Sahle untuk urusan percutian dan mengesahkan perkara itu dengan Najib, Wan Shihab berkata beliau kemudian membuat persediaan untuk rombongan kira-kira 20 orang termasuk Najib, Rosmah, anak-anak mereka Nor Ashman, Nooryana Najwa dan Riza Aziz, rakan Najib Tan Sri Bustari Yusuf dan salah seorang anak Bustari, pegawai, pembantu rumah dan kakitangan lain.

“Setahu saya, tiada caj penginapan dikenakan sepanjang percutian di atas kapal layar RM Elegance kerana Datuk Seri Najib dan keluarganya bercuti atas jemputan putera Kuwait itu,” kata Wan Shihab.

Perjalanan ini melibatkan penerbangan menggunakan pesawat kerajaan dari Kuala Lumpur ke London sebelum berlepas ke lapangan terbang Cote D’Azur di Nice, Perancis pada 15 Ogos 2009, sebelum mereka kemudiannya dibawa ke kapal layar di mana putera Kuwait dan Syeikh Hamed menunggu dan dengan kedua-duanya kelihatan mempunyai hubungan baik dengan Najib.

Pada mulanya hanya melawat selatan Perancis dengan kapal layar, Wan Shihab berkata Najib memberitahunya sama ada pada hari kedua atau ketiga bahawa seorang putera Arab Saudi bernama Putera Turki berada di atas kapal layar lain yang berdekatan telah menjemput Najib dan keluarganya untuk minum teh, sambil menambah bahawa dia telah mengatur untuk lawatan melalui bot yang ditempah untuk pergi ke kapal layar Putera Turki.

Rombongan Najib disambut oleh Putera Turki dan Tarek Obaid di atas kapal layar itu, dengan Najib dan keluarganya dijemput masuk ke ruang tamu, manakala beliau (Wan Shihab) dan pegawai lain menunggu di geladak.

Wan Shihab berkata beliau tidak tahu apa tujuan pertemuan ini dan sama ada Najib dan keluarganya sudah mengenali Putera Turki dan Tarek, sambil menambah beliau kemudiannya diminta oleh Najib untuk membantu mengambil gambar mereka di ruang tamu kapal layar itu.

“Apabila saya masuk ke ruang tamu, saya lihat Jho Low sudah berada dalam kalangan mereka. Ini bermakna Jho Low berada di atas kapal layar itu (Putera Turki) sebelum kami tiba.

“Saya tidak kisah sangat dengan kehadiran Jho Low dan mengambil gambar mereka seperti yang diarahkan oleh Datuk Seri Najib sebagai kenangan pertemuan itu,” katanya.

Wan Shihab berkata Jho Low pada pertengahan 2010 telah menghubunginya melalui perkhidmatan pemesejan BBM untuk memberitahu bahawa Najib dan keluarganya telah dijemput untuk bercuti di atas kapal layar yang kononnya dimiliki oleh seorang putera Arab Saudi di perairan Greece dan Itali, tetapi beliau tak ingat nama putera raja ini.

Untuk perjalanan menaiki kapal layar Golden Odyssey ini, Wan Shihab berkata Najib dan keluarganya serta rombongan percutian mereka telah menaiki pesawat dari Kuala Lumpur dengan pesawat milik kerajaan pada 28 Julai 2010 dan tiba di Athens, Greece pada 29 Julai 2010, sebelum dibawa ke kapal layar.

Najib, Rosmah, anak-anak mereka Nor Ashman, Nooryana Najwa dan Riza Aziz, Wan Shihab, pegawai-pegawai lain, kakitangan rumah dan seorang rakan Najib berada dalam rombongan ini berjumlah sekitar 17 orang, manakala Bustari dan beberapa kenalan Najib sudah berada di atas kapal layar itu sehari lebih awal dengan penerbangan mereka sendiri menggunakan pesawat komersial.

Pada 2013, Wan Shihab berkata Jho Low sekali lagi menghubunginya melalui BBM dan memberitahu Najib dan keluarganya telah dijemput untuk bercuti di selatan Perancis dengan kapal layar yang dikenali sebagai “Topaz” yang dimiliki oleh Sheikh Mansour yang dikatakan sebagai seorang putera raja Abu Dhabi

Mendapat pengesahan daripada Najib mengenai perjalanan itu, Wan Shihab berkata beliau kemudiannya membuat persiapan untuk perjalanan percutian itu, dengan rombongan perjalanan ini melibatkan kira-kira 25 orang.

Berita berkaitan
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
Ceroboh ruang udara: Malaysia kemuka bantahan, panggil Duta China
June 1, 2021
Tiada bekalan telur ayam di Terengganu, mana Mat Sabu?
December 19, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Tiada diskaun cukai taksiran hartanah di KL tahun ini: DBKL
January 9, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Sekarang siapa jadi kerajaan, Muhyiddin kritik isu kejatuhan ringgit
February 24, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok