Najib mohon dokumen kes 1MDB babitkan RM2.3 bilion

March 24, 2021 · Isu semasa

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menuntut pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain yang berkaitan kepada pasukan pembelaannya dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan dana RM2.3 bilion.

Bernama melaporkan, dalam notis usul yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini oleh pasukan pembelaannya yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib antara lain mendakwa dokumen itu berada di tangan pihak pendakwaan, atau entiti lain.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib, 67, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata dokumen itu penting dan mempunyai kaitan kepada perbicaraan 1MDB kerana ia tidak ditampilkan kepada pasukan pembelaan sebelum kes bermula.

Menurut afidavit itu, Najib mendakwa beberapa penyata dan dokumen itu mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, yang dipercayai turut membabitkan ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Zeti disenaraikan sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB, oleh itu dokumen bank berkenaan amat relevan kepada pembelaan saya, dan pemeriksaan balas Zeti serta lain-lain saksi pendakwaan, yang merujuk kepada kredibiliti dan kebebasannya, memandangkan dia adalah bekas Gabenor Bank Negara yang relevan terhadap tempoh waktu yang berkaitan dengan pendakwaan saya,” katanya.

Laporan Bernama juga menyebut Najib memberitahu sekatan terhadap dokumen bank itu mempunyai kesan yang membawa kepada keadaan tidak menampilkan kebenaran, dan menyalahi kebebasan asasi sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan; serta hak beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama di sisi undang-undang, sebagaimana yang ditetapkan di bawah Artikel 5 dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut notis usul itu, antara dokumen yang dipohon daripada pihak pendakwaan adalah penyata akaun bagi Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd.

Selain penyata bank, Najib juga memohon sijil ‘incumbency’, deklarasi identiti pemilik benefisial syarikat, daftar anggota, daftar pengarah serta surat-menyurat antara bank dan syarikat itu mengenai urus niaganya, termasuk e-mel, pemindahan telegraf, borang pengiriman wang, nasihat pembayaran, laporan transaksi, pesanan pembayaran, nasihat kredit dan memo bank.

Permohonan itu menuntut pendedahan dokumen-dokumen dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan BNM, atau mana-mana entiti lain yang memiliki dokumen berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib semasa dihubungi mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima salinan permohonan berkenaan hari ini.

Terdahulu ketika sebutan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pasukannya telan menfailkan permohonan berkenaan pagi ini.

Hakim Sequerah menetapkan 26 Mac sebagai tarikh untuk sebutan bagi permohonan.

Bagi perbicaraan 1MDB, Hakim Sequerah memberitahu kedu-dua pihak bahawa mahkamah bercadang untuk meneruskan perbicaraan pada bulan April sekiranya rayuan Najib berhubung kes SRC International Sdn Bhd tidak berlangsung di Mahkamah Rayuan.

Beliau kemudiannya menetapkan 19 hingga 22 April untuk menyambung perbicaraan sekiranya pendengaran rayuan diberi ruang masa.

Berita berkaitan
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Pelajar sekolah balik cuti raya Cina tak dibenar pulang ke asrama
February 5, 2022
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Kilang pemasangan Porsche pertama Malaysia dilancar di Kedah
March 28, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok