Najib minta dilantik penasihat ekonomi semasa bertemu PM?

Pertemuan Datuk Seri Najib Razak yang sedang berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menimbulkan spekulasi beliau bakal dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan, lantikan sama seperti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber memberitahu Agenda Daily, spekulasi lantikan jawatan penasihat ekonomi itu semakin kuat selepas Najib memberi isyarat kesediaannya untuk membantu kerajaan dalam berdepan cabaran krisis kesihatan yang sedang melanda negara ketika ini.

Lebih menguatkan spekulasi itu, seorang veteran UMNO juga mendesak supaya Ismail Sabri memberi peranan sama kepada Najib seperti diberikan kepada Muhyiddin yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini.

“Bakal diumumkan dalam masa terdekat Najib dilantik penasihat ekonomi bertaraf menteri tidak lama lagi,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam kenyataan di Facebook sejurus pertemuan di Pejabat PM semalam berkata Najib akan memberi komitmen dalam mencurahkan khidmatnya dalam merencana strategi memulihkan negara daripada ancaman Covid-19.

“Datuk Seri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,” katanya.

Najib pula ketika mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri berkata, ia bagi membincangkan keadaan semasa ekonomi Malaysia dan langkah-langkah seterusnya yang wajar diambil.

“Make no mistake. Terus terang saya kata. Malaysia masih berada dalam krisis. Malah akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar dari segi ekonomi, pendapatan dan kebajikan rakyat.

“Dari sudut makro dan secara menyeluruh, kita sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan negara jiran. Malaysia tidak lagi mempunyai daya tarikan terhadap pelabur asing serta selepas 2018. Dari sudut mikro dan melibatkan rakyat pula, ramai tidak ada keyakinan terhadap ekonomi kita Malah timbul kerisauan terhadap keperluan, pendapatan dan kestabilan pekerjaan masing-masing,” katanya.

Namun, lantikan Najib tersebut bakal menimbulkan polemik memandangkan bekas PM itu antara individu yang berada dalam kluster mahkamah.

Berbeza dengan lantikan Muhyiddin yang meletak jawatan kerana hilang majoriti, Najib selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Najib itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Kes tersebut kini dalam peringkat rayuan selepas Najib merayu terhadap keputusan tersebut.

Pada 2018 lalu, Najib dihadapkan ke mahkamah berkaitan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion.

Untuk rekod, pada 4 September lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN sebagai mengharai peranannya sebelum ini.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia dibuat atas dasar keyakinan terhadap kemampuan mantan PM itu untuk menerajui strategi pemulihan akibat kesan wabak Covid-19.

Muhyiddin pula berkata MPN akan membantu kerajaan melalui fasa pemulihan seperti yang telah digariskan.

BERITA BERKAIT
POPULAR