Najib merajuk dengan adik tak jemput ke pelancaran buku?

Datuk Seri Najib Razak difahamkan merajuk dengan adiknya kerana tidak menjemput sama ke pelancaran buku memoir bertajuk ‘What’s in a Name’ baru-baru ini pada 8 November.

Adik bekas Perdana Menteri (PM) itu, Datuk Seri Nazir Razak banyak mendedahkan mengenai abangnya dalam tulisan bukunya itu, bagaimanapun tidak menjemput Najib ke pelancaran buku tersebut.

Sumber Agenda Daily memberitahu Najib berkecil hati dengan adiknya kerana tidak memaklumkan terlebih dahulu berhubung isi kandungan dalam memoir tersebut.

“Najib merajuk dengan adiknya, banyak bab dalam buku tersebut mengaitkan Najib tetapi tidak pula dijemput ke pelancaran buku itu baru-baru ini.

“Tindakan adik Najib itu betul-betul melukakan hati abangnya,” kata sumber terdekat dengan bekas Perdana Menteri itu.

Menurut sumber, walaupun terdapat beberapa kontroversi yang ditulis mengaitkan dirinya dalam buku tersebut, Najib bagaimanapun gembira kerana sekurang-kurangnya adiknya itu masih mengingati jasa beliau semasa menjawat jawatan PM.

Selain itu, Najib juga masih belum menerima salinan buku tersebut dari adiknya setakat ini walaupun ia sudah dijual dengan laris di kedai-kedai buku ternama.

Namun, Najib boleh mendapatkan buku tersebut di Kinokuniya, KLCC atau MPH yang menjual buku tersebut.

Terdahulu, Nazir dalam memoirnya pada bab bertajuk ‘Najib’s Rise’ memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta hubung kait dana itu dengan Najib.

Malah Nazir mengakui beliau antara yang bertemu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berbincang dan menceritakan kebimbangannya berhubung dana 1MDB.

Pertemuan itu turut disertai pemilik The Edge Group, Datuk Tong Kooi Ong di London, sekitar 2015.

“Mengapa saya juga perlu melakukan sesuatu? Saya sudah bersara.” Kata-kata itu keluar dari mulut Dr Mahathir, kata Nazir dalam buku berkenaan yang baharu dilancarkan.

Dalam memoir buku berkenaan beliau mendedahkan, pertemuan itu bukan sesuatu yang mudah untuk beliau dan Tong, tetapi ia harus dilakukan demi mencari kebenaran tentang skandal 1MDB.

Mengimbas kembali pertemuan itu, Nazir memulakan sesi itu dengan menyuarakan kebimbangan kepada Dr Mahathir bahawa beliau dan Tong percaya berbillion-bilion dolar telah diseleweng dari 1MDB.

“Tong sebenarnya yang banyak mendedahkan tentang apa yang kami ketahui berkaitan 1MDB. Dr Mahathir kelihatan mudah memahami situasi itu yang mana ia memeranjatkan mereka, selepas mengambil kira perincian dan penerangan Tong.

“Saya syak Dr Mahathir sebenarnya telah pun diberi taklimat mengenai 1MDB dan menggunakan pertemuan itu sebagai perbandingan terhadap apa yang beliau ketahui dan fahami,” katanya lagi.

Nazir berkata, semakin sesi perbincangan itu berlangsung semakin Dr Mahathir menunjukkan reaksi atau erti kata lainnya, kemarahan.

Sebagai rekod, Nazir berkata, hubungan antara keluarganya dengan Dr Mahathir telah berdekad lamanya di mana ayahandanya, Abdul Razak telah menyelamatkan karier politik Dr Mahathir dengan membawa kembali beliau ke dalam UMNO.

BERITA BERKAIT
POPULAR