Najib MC sakit mata kes mahkamah ditunda tapi boleh pula tulis sindiran

Datuk Seri Najib Razak mengatakan mata beliau bengkak dan penglihatannya kabur sehingga tidak dapat menandatangani cek dan tidak dapat hadir ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan, tetapi boleh pula menulis di dalam Facebook beliau hari ini.

Mendapat cuti sakit selama tujuh hari kerana mendakwa mata menjadi kelabu selepas pembedahan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan prosiding perbicaraan kes jenayah yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu.

Malah, peguan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah memberitahu keadaan mata Najib yang mengalami bengkak dan penglihatan kabur sehingga tidak berupaya untuk menandatangani cek.

Namun, yang peliknya mata Najib tidak pula kabur ketika menulis sindiran terhadap kerajaan di laman Facebooknya hari ini.

Mujurlah Hakim Collin lebih bijak dengan mengatakan ketika prosiding di mahkamah, Najib hanya perlu duduk mendengar, tidak perlu melakukan apa-apa, dan kena hadir di mahkamah esok.

Memang betul apa yang dikatakan hakim kerana Najib bukannya sakit telinga hingga tidak dapat mendengar kes perbicaraannya. Sedangkan orang buta pun ada yang dihadapkan di hadapan hakim untuk berdepan tuduhan, inikan pula penglihatan kabur.

Dalam kiriman di Facebooknya hari ini, Najib menyindir kerajaan dengan mengatakan Dewan Rakyat adalah contoh terbaik ‘full lockdown’ yang amat berkesan.

“Tiada kes baru, tiada cluster baru. Malah pendapatan ahli dan pekerja Parlimen langsung tak kurang satu sen sepanjang tempoh lockdown,” tulisnya.

Bekas Presiden UMNO itu yang kini berusia 67 tahun menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib yang juga bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

POPULAR