
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara di Penjara Kajang mulai 23 Ogos 2022.
Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kini dirawat di hospital, lapor Astro Awani petang tadi.
Portal itu memetik seorang pembantu kepada bekas perdana menteri yang tidak dinamakan, mengesahkan Najib dimasukkan ke hospital baru-baru ini, tanpa mendedahkan sebab dirawat.
“Ya keadaan Datuk Seri stabil dan beliau sedang menjalani semua siasatan perubatan yang diperlukan,” kata pegawai berkenaan.
Satu lagi portal berita Media Variasi melaporkan Najib, 69, sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami pendarahan usus.
“Buat masa ini tidak diketahui sama ada dia akan terus menerima rawatan di HKL atau kembali ke penjara,” lapor Media Varisasi memetik sumber yang tidak dinamakan yang dikatakan rapat dengan Najib sebagai berkata.
Ia memetik sumber yang sama mengatakan bahawa sel penjara Najib di Penjara Kajang jauh dari tempat tahanan lain, dan dikatakan tidak mempunyai kemudahan untuk menyokong kesihatan Najib berbanding Penjara Sungai Buloh di mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sebelum ini.
Menurut sumber itu, tiada ‘plug’ elektrik untuk memasang alat pernafasan bagi Ahli Parlimen Pekan semasa dia tidur dan hanya kipas yang dihidupkan sepanjang masa.
“Penjara Kajang tidak mempunyai kemudahan untuk menampung keperluan perubatannya. Pada bila-bila masa, Najib berasa sakit dan nyawanya terancam.
“Pegawai penjara telah diarahkan untuk memberikan layanan yang sama kepada bekas perdana menteri seperti yang diberikan kepada banduan lain,” kata sumber itu.
Najib dipenjarakan sejak 23 Ogos apabila panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyelewengkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd, yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020.
Najib juga menghadapi empat lagi perbicaraan jenayah berkaitan skandal kewangan 1MDB, termasuk dua yang masih belum bermula.
Najib telah beberapa kali dibawa keluar dari penjara untuk menghadiri dua perbicaraan jenayah yang sedang berjalan; yang pertama pada 25 Ogos bagi kes penyelewengan RM2.28 bilion daripada 1MDB, dan keesokan harinya untuk menyambung semula dakwaan dia mengubah laporan audit ketua juruaudit negara ke atas 1MDB.
Dia dijadual kembali ke Mahkamah Tinggi esok untuk meneruskan perbicaraan utama 1MDB.