
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sinonim dengan ungkapan 'Malu Apa Bossku'.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kejayaan terbesar Datuk Seri Najib Razak adalah menterbalikkan pemikiran orang Melayu yang kini tidak lagi berasa malu sekiranya melakukan jenayah.
Menurutnya sebelum ini orang Melayu akan berasa malu sekiranya ada anak atau ahli keluarga mereka yang terlibat dengan kes-kes jenayah, termasuk mencuri dan menerima rasuah, tetapi kini tidak lagi kerana menerima pendapat Najib.
“Dahulu orang Melayu memandang rendah kepada orang yang mencuri. Mereka amat malu jika ada ahli keluarga yang terlibat dengan jenayah, dengan mencuri dan sebagainya.
“Tetapi sekarang orang Melayu tidak lagi berasa malu. Apa nak malu. Najib menanam pendapat bahawa apa nak malu jika ia mencuri.
“Dia boss. Boss boleh mencuri. Kalau boss tak malu kerana mencuri, orang Melayu pun tak perlu malu bila mencuri.
“Tidak ada satu orang yang begitu berjaya menterbalikkan orang Melayu seperti Najib,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu dalam kenyataan di laman media sosialnya hari ini.
Dr Mahathir berkata sekarang ini ramai orang yang sudah tidak memiliki sikap malu hingga sanggup mencium tangan semata-mata untuk mendapat wang dan jawatan.
“Dan sekarang ini ramai orang tak tahu malu. Ada yang sampai cium tangan. Kenapa cium tangan. Boleh dapat duit. Boleh dapat jawatan. Apa nak malu.
“Kalau tangan berbau najis, tak apa. Ada duit dalam najis. Terbongkok-bongkoklah nak cium tangan. Apa nak malu. Kalau tangan bersalut tahi tetapi ada duit, okaylah. Tak payah malu,” katanya lagi.
Beliau berkata sekarang ini ramai yang juga tidak malu untuk menjadi terkenal kerana menerima rasuah, mencuri atau gagal membayar hutang.
“Ramai sungguh yang tak malu. Terkenal sebagai perasuah, apa nak malu. Jadi pencuri tak apa, tak perlu malu.
“Inilah kejayaan Najib yang terbesar. Orang Melayu tak perlu malu. Terima duit yang dicuri, tak malu. Minta duit free, tak malu. Tak bayar hutang tak malu.
“Pilih pencuri, perasuah, banduan sebagai Perdana Menteri, okay. Tak malu. Dunia ketawa negara Malaysia kerana tak malu dengan kelakuan yang memalu, tak malu,” katanya.