Najib lulus pelantikan pengarah 1MDB tanpa persetujuan BOD

Najib lulus pelantikan pengarah 1MDB tanpa persetujuan BOD

Bekas Setiausaha Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik pengarah tanpa kelulusan lembaga pengarah (BOD) 1MDB.

Goh Gaik Kim ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-17 memberitahu terdapat beberapa urusan yang diluluskan oleh bNajib tanpa kelulusan BOD syarikat itu.

Menurutnya beliau pernah menerima sehelai kertas berwarna kuning dengan kepala surat Pejabat Perdana Menteri mengenai kelulusan pelantikan pengarah sedangkan tiada sebarang mesyuarat mengenainya diadakan.

Beliau berkata, surat itu diserahkan sendiri oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepadanya.

Saksi pendakwaan ke-17 itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed bahawa tindakan Najib itu adalah sejajar dengan kuasa yang diberikan Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes Najib, 68, didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, memetik Bernama, Gaik Kim juga memberitahu bahawa 1MDB mahu mendapatkan semula AS$2.3 bilion yang dilaburkan di syarikat pelaburan Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

Menurutnya perkara itu dibincangkan ketika beliau menghadiri mesyuarat pada 11 November 2013.

Saksi yang dirujuk dengan minit mesyuarat itu berkata, antara agenda yang dibincangkan adalah berkenaan arahan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB supaya pelaburan di Bridge Global Absolute Return Fund SPC ditebus semula untuk dibawa balik ke Malaysia.

“Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman telah berkata bahawa “pada masa ini tiada rancangan untuk melepaskan pegangan portfolio pelaburan. Beliau menambah dividen setengah tahun pertama kira-kira tiga peratus baru sahaja diterima.

KPMG Malaysia, firma audit 1MDB, juga telah meminta beberapa dokumen supaya dapat memastikan bahawa pelaburan Kumpulan 1MDB di dalam Bridge Global Absolute Return Fund SPC telah direkod pada nilai saksama,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Dalam prosiding sebelum ini, rakan kongsi urusan KPMG Malaysia Datuk Johan Idris berkata pihaknya tidak dapat menandatangani laporan audit penyata kewangan 1MDB bagi 2013 kerana 1MDB gagal memberi maklumat terperinci berkaitan pelaburan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR