Najib kemuka maklumat dalaman siasatan SPRM terhadap hakim

July 15, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Najib Razak mendakwa dia mempunyai pengetahuan dalaman mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib berkata demikian dalam afidavit terbaharunya kepada Mahkamah Persekutuan untuk menambah keterangan lanjut dalam kes SRC Internationalnya dan memohon membatalkan perbicaraan terdahulu yang menyaksikan bekas Perdana Menteri itu disabitkan kesalahan dan dipenjara 12 tahun, serta denda RM210 juta.

Menurut dokumen itu, Najib menegaskan semula bahawa Nazlan mempunyai konflik kepentingan kerana dakwaan kegagalannya mendedahkan jawatan lampau dan peranannya sebelum ini dalam Maybank sebelum menjadi hakim.

“Saya sedar Nazlan telah dipanggil SPRM baru-baru ini untuk direkodkan kenyataannya.

“Apabila ditanya oleh pegawai SPRM tentang pengetahuan/penglibatannya apabila terdapat kemungkinan berlakunya kemungkiran oleh 1MDB terhadap pinjaman Maybank tersebut pada 2015, Hakim Nazlan pada mulanya menafikan tidak mempunyai sebarang pengetahuan.

“Bagaimanapun, Yang Arif mengakui beliau memang terlibat dalam episod itu hanya selepas berhadapan dengan e-mel dan dokumen oleh pegawai SPRM.

“Saya yakin dan tahu afidavit ini adalah benar dan saya mencabar sama ada SPRM atau pendakwa raya menafikan perkara ini dalam rekod dan melalui sebarang afidavit sebagai jawapan,” katanya menurut laporan NST.

Najib kemudian menamakan tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan Nazlan dan dia telah mengarahkan peguamnya meminda permohonannya memasukkan tiga nama ini bagi meminta Mahkamah Persekutuan membenarkan mereka menjadi saksi.

“Saya dimaklumkan dengan pasti bahawa penyiasat berkaitan daripada SPRM yang menjalankan siasatan terhadap salah laku Hakim Nazlan yang disyaki ialah Asrul Ridzuan Ahmad Rustami dan Noor Syazana Kamin, di bawah seliaan Mohammad Zamri Zainul Abidin (Ketua Siasatan, SPRM) semua pegawai daripada SPRM.

“Bukti viva voce daripada saksi-saksi ini akan membantu mahkamah ini dalam menentukan sama ada Nazlan memainkan peranan dan mempunyai pengetahuan (sebenar atau konstruktif) dalam pinjaman yang dikeluarkan oleh Maybank kepada 1MDB dan sama ada kegagalan Nazlan untuk mendedahkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan sebelum perbicaraan dimulakan atau semasa perbicaraan,” katanya.

Najib juga mengulangi bahawa bukti baharu yang ingin dikemukakannya tidak diberikan kepadanya semasa perbicaraan.

Ahli Parlimen Pekan itu percaya perkara itu diketepikan pihak pendakwaan dan penyiasat yang berkaitan untuk memprejudiskan perbicaraannya atas sebab-sebab yang paling diketahui oleh mereka.

“Saya menyatakan bahawa permohonan ini dibuat dengan niat murni untuk memelihara hak perlembagaan saya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan seperti yang dijelaskan dalam afidavit sokongan pemohon, tidak ada kelewatan, apa lagi kelewatan yang tidak wajar, dalam membuat permohonan ini.

“Keterangan saya di sini berdasarkan dokumen yang saya temui baru-baru ini dan penemuan lanjut saya mengenai perkara-perkara dalam Kumpulan Maybank telah dianalisis dengan teliti oleh saya dan peguam cara saya,” katanya.

Najib turut mencabar pihak pendakwaan dan SPRM memfailkan afidavit lain bagi menjawab dakwaan seriusnya.

“Tuduhan yang saya buat adalah serius dan Mahkamah Persekutuan berhak untuk mengetahui kebenaran. Saya mencabar pihak Pendakwaan/SPRM untuk mengemukakan afidavit daripada pegawai berkaitan SPRM bagi menafikan dakwaan khusus yang saya buat di sini.

“Dua pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam siasatan terhadap Hakim Nazlan sepatutnya mengesahkan atau menafikan dakwaan khusus yang saya buat,” katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan menyifatkan permohonan Najib untuk mengisytiharkan sabitan SRC International Sdn Bhd (SRC) sebagai terbatal dan tidak sah setelah menuduh Nazlan berat sebelah, sebagai tidak lebih daripada “ekspedisi memancing yang nakal”.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata Najib gagal menunjukkan sebarang konflik kepentingan sebenar atau bayangkan di pihak Hakim Nazlan yang boleh diterjemahkan sebagai menimbulkan bahaya berat sebelah dalam perbicaraan SRC.

“Dakwaan Najib tidak lain hanyalah ‘hering merah’ untuk mengisytiharkan perbicaraan SRC sebagai terbatal.

“Perkara tidak relevan yang dibangkitkannya tidak lebih daripada khabar angin dan tidak boleh diterima, dan dalam apa jua keadaan tidak berkaitan dengan perbicaraan SRC,” katanya dalam afidavid yang dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan,

Ashrof juga berkata tiada bukti sama sekali bahawa Nazlan terlibat dalam penubuhan SRC seperti yang didakwa oleh bekas perdana menteri itu – yang sebenarnya adalah orang di sebalik penubuhan syarikat itu.

“Ini hanya meragukan dan dakwaan susulan terhadap Nazlan, yang tidak dapat mempertahankan dirinya secara peribadi daripada dakwaan palsu ini.

“Permohonan sekarang tidak lain hanyalah ekspedisi memancing untuk mendapatkan keterangan dan sama sekali tidak relevan dengan pertuduhan terhadap pemohon,” kata Ashrof.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar permohonan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun.

Berita berkaitan
Perbicaraan Najib wajar ditangguh sehingga siasatan Nazlan selesai: Hisyam Teh
8 jam lalu· Isu semasa
Rayuan kes SRC Najib: Usul masuk bukti tambahan dibenarkan mahkamah
9 jam lalu· Isu semasa
Menjelang perbicaraan terakhir esok, Najib istiqamah dengan keputusan bakal dihadapi
August 14, 2022· Politik
Tiada unsur penyelewengan dalam projek Musang King di Kedah, kata SPRM
August 12, 2022· Isu semasa
Popular
Permohonan Najib ‘cacat, pentingkan diri sendiri’, kata pendakwaan
August 15, 2022
Perbicaraan Najib wajar ditangguh sehingga siasatan Nazlan selesai: Hisyam Teh
August 15, 2022
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Tak adil dakwa laporan LCS fitnah hanya kerana Pengerusi PAC dari DAP
August 15, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Kejatuhan harga minyak, kadar faedah China jejas nilai ringgit
2 jam lalu · Isu semasa
Dewan Negara lulus empat RUU
3 jam lalu · Isu semasa
Bursa Malaysia ditutup rendah
3 jam lalu · Isu semasa
KKM mohon lebih banyak dana penjagaan kesihatan awam
3 jam lalu · Isu semasa
Skandal kapal tak siap: Bekas pegawai tinggi BNS didakwa esok
4 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Polisi baharu cegah kematian tahanan polis
8 jam lalu
[VIDEO] Himpunan kapal LCS mahu siasatan bukan penjelasan
10 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok