Najib keluarkan 13 keping cek berjumlah RM1.28 juta: Saksi

September 6, 2022 · Isu semasa

Akaun AmIslamic Bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah digunakan untuk mengeluarkan 13 cek berjumlah lebih RM1.28 juta dalam tempoh enam bulan pada Mac hingga Ogos 2011, seorang pegawai AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini (6 September 2022).

Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek AmBank, Badrul Hisam Mohamad, mengesahkan cek itu yang kesemuanya dikeluarkan daripada akaun Najib dan berjaya dimasukkan ke dalam akaun 13 penerima.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-36 dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Badrul Hisam mengesahkan 13 cek yang dikeluarkan daripada akaun Bank AmIslamic Najib (dengan nombor akaun 211-202-200969- 4) di cawangan bank Jalan Raja Chulan dan yang kesemuanya telah mempunyai tandatangan Najib.

Cek yang disahkannya hari ini termasuk cek RM100,000 yang dikeluarkan pada 8 Mac 2011 kepada Qalif Umar Creative dan didepositkan pada hari yang sama di akaun Maybank di Jalan Klang Lama; cek RM200,000 kepada UMNO Pekan yang telah didepositkan pada 11 April 2011 di akaun CIMB di Jalan Sultan Abdullah, dan cek RM100,000 yang dikeluarkan pada 12 Mei 2011 kepada Abdul Malek Munip dan didepositkan pada 13 Mei 2011 di sebuah Akaun CIMB di Universiti Malaya.

Terdapat juga cek RM130,000 kepada Qalif Umar Creative yang dikeluarkan pada 12 Mei 2011 dan didepositkan pada 16 Mei 2011 di akaun Maybank di Kompleks Bandar; dan cek RM50,000 kepada Hj Ahmad Baijuri B Hj Ahmad Faudzi yang dikeluarkan pada 12 Jun 2011 dan didepositkan pada 13 Jun 2011 di akaun Maybank di Wisma Hangsam.

Selain itu cek RM30,000 kepada Wanita UMNO Pekan yang dikeluarkan pada 24 Jun 2011 dan didepositkan pada 27 Jun 2011 di akaun CIMB di Jalan Sultan Abdullah; dan cek RM100,000 kepada Ruslan Kasim yang dikeluarkan dan didepositkan kedua-duanya pada 28 Jun 2011 di akaun Bank Simpanan Nasional di Selayang Baru.

Cek lain yang disahkan oleh Badrul Hisam hari ini ialah cek RM50,000 kepada Fakhrul Azman B Abu Bakar yang dikeluarkan pada 28 Jun 2011 dan didepositkan pada 29 Jun 2011 ke akaun Public Islamic Bank di Jalan Raja Laut, dan cek RM200,000 kepada Ahmad Bashah Md Hanipah yang dikeluarkan pada 28 Jun 2011 dan didepositkan pada 5 Julai 2011 ke akaun Bank Muamalat Malaysia Berhad di Alor Setar, Kedah.

Cek lain ialah RM274,750 yang dikeluarkan kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd yang dikeluarkan pada 9 Ogos 2011 dan didepositkan pada 10 Ogos 2011 di akaun Maybank di Desa Sri Hartamas; serta cek RM10,000 kepada Mohd Rosdi Alizah yang dikeluarkan pada 17 Ogos 2011 dan didepositkan pada 18 Ogos 2011 di akaun CIMB di Jalan TAR, Kuala Lumpur.

Baki cek lain ialah RM30,000 kepada Ibrahim Awang Ismail yang dikeluarkan pada 20 Ogos 2011 dan didepositkan pada 22 Ogos 2011 di akaun CIMB di Jalan Sultan Abdullah, dan cek RM15,000 kepada Zainal Abdin Bin Pa’wan yang dikeluarkan pada 20 Ogos 2011 dan didepositkan pada 24 Ogos 2011 di akaun CIMB di Pekan.

Secara keseluruhan, 13 cek AmIslamic Bank dengan tandatangan Najib ini berjumlah RM1,289,750.

Badrul Hisam belum melengkapkan keterangannya, dan dijangka terus memberi keterangan esok apabila perbicaraan 1MDB di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah disambung semula.

Najib menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) jumlah yang sama.

Bagi kes rasuah, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kes AMLA, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
AS$600 juta masuk dalam akaun Najib boleh jejas nilai ringgit, kata saksi kes 1MDB
10 jam lalu· Isu semasa
Pendakwaan mohon hukuman penjara ditambah 3 bulan terhadap Lokman
16 jam lalu· Isu semasa
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
18 jam lalu· Isu semasa
‘Mencurah wang’ daripada syarikat berkait Jho Low masuk akaun Najib
September 28, 2022· Isu semasa
Popular
Pendakwaan mohon hukuman penjara ditambah 3 bulan terhadap Lokman
September 29, 2022
Buat PRU-15 selepas bentang Bajet 2023 itu satu ‘penipuan’, kata penganalisis
September 29, 2022
KPM ambil langkah tangani nasib guru besar, rundingan capai persetujuan: Radzi
September 29, 2022
Tuan Ibrahim sokong cadangan Speaker tetapkan tarikh PRU secara automatik
September 29, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Bursa ditutup rendah lagi, susut bawah paras 1,400
11 jam lalu · Isu semasa
Buat PRU-15 selepas bentang Bajet 2023 itu satu ‘penipuan’, kata penganalisis
11 jam lalu · Isu semasa
Ringgit jatuh lagi menghampiri RM4.7O berbanding dolar
11 jam lalu · Isu semasa
KPM ambil langkah tangani nasib guru besar, rundingan capai persetujuan: Radzi
11 jam lalu · Isu semasa
Tuan Ibrahim sokong cadangan Speaker tetapkan tarikh PRU secara automatik
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Guru besar kekal sebagai pentadbir sekolah, kata Radzi
7 jam lalu
[VIDEO] Kerajaan masih kaji kanabis sebagai rawatan penagih, bukan hukuman
12 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok