
Konvoi polis dan Jabatan Penjara membawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari Penjara Kajang ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes penyelewengan RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad. - Gambar Reuters
Akaun AmIslamic Bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah digunakan untuk mengeluarkan sejumlah 38 keping cek berjumlah RM8.4 juta dalam tempoh dalam tempoh 14 bulan pada Mac 2011 hingga Mei 2012, kata seorang pegawai bank kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini (7 September 2022).
Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek AmBank, Badrul Hisam Mohamad, berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-36 dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau mengesahkan bahawa semua cek ini mengandungi tandatangan Najib.
Semalam beliau turut mengesahkan Najib mengeluarkan 13 keping cek bernilai RM1,289,750 atau lebih RM1.28 juta dalam tempoh Mac hingga Ogos 2011.
Hari ini, Badrul Hisam mengesahkan tujuh keping cek yang dikeluarkan daripada akaun bank AmIslamic sama yang dimiliki Najib dalam tempoh Ogos 2011 hingga November 2011, dengan jumlah keseluruhan RM2,130,500 atau lebih RM2.13 juta.
Ini termasuk cek RM800,000 kepada UMNO Selangor yang dikeluarkan pada 21 September dan disimpan pada 29 September 2011 di cawangan Pusat Bandar Damansara CIMB; dan RM1 juta kepada UMNO Selangor yang dikeluarkan pada 30 November dan disimpan pada 2 Disember 2011 di CIMB’s Cawangan Jalan Tun Perak.
Badrul Hisam hari ini turut mengesahkan 18 keping cek yang dikeluarkan dari Januari 2012 hingga Mei 2012 berjumlah RM4,985,600.
Ini termasuk RM100,000 setiap seorang kepada bekas menteri Tan Sri Kasitah Gaddam dan Datuk Seri Richard Riot (masing-masing adalah ahli politik dari Sabah dan Sarawak); dan sejumlah RM32,600 kepada bekas Setiausaha Politik Najib, Wong Nai Chee.
Cek berjumlah RM2.1 juta juga dikeluarkan kepada UMNO Selangor; RM140,000 kepada UMNO Pekan; RM200,000 kepada Barisan Nasional Bandar Tun Razak; RM400,000 kepada UMNO Macang; RM1 juta kepada taikun Tan Sri Lim Soon Peng; RM360,000 kepada KL Media House Sdn Bhd; dan RM178,000 kepada Two One Holidays Malaysia Sdn Bhd.
Apabila kesemua 38 cek dikira bersama, ia akan mencecah RM8,405,850.
Najib, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, hadir di kandang tertuduh hari ini dengan memakai sut biru tua.
Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga baru-baru ini disabitkan kesalahan rasuah dalam kes berasingan yang sedang dirayunya, turut hadir di bilik mahkamah pada awal perbicaraan hari ini.
Najib menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) jumlah yang sama.
Bagi kes rasuah, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kes AMLA, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.