NAJIB KE PENJARA

August 23, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Persekutuan hari ini (Selasa, 23 Ogos 2022) menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, setelah didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (BHD).

Panel lima hakim kanan yang bersidang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan yang difailkan Najib, setelah Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 menolak rayuannya.

Empat lagi hakim yang turut bersidang ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Tengku Maimun ketika membacakan penghakimannya berkata tiada isu baharu yang diketengahkan dalam rayuan dikemukakan Najib dalam kesnya kerana ia melibatkan penemuan fakta dan penyelesaian perundangan terdahulu.

Najib ketika keputusan dibacakan berada di kandang tertuduh.

Menurut Tengku Maimun pasukan pembelaan Najib sudah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan bagi pihak bekas perdana menteri itu, tetapi enggan berbuat demikian.

Katanya pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali betul semasa membuat keputusan prima facie ke atas Najib dan mengarahkannya membela diri bagi tujuh pertuduhan kes rasuah SRC International Sdn Bhd membabitkan dana bernilai bernilai RM42 juta.

Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan dan hukuman dikekalkan, katanya.

Selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Disember 2021, Najib pada 8 Disember 2021 memfailkan rayuan terakhirnya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Najib memulakan hari pertama rayuan terakhir itu pada 15 Ogos lalu yang penuh dengan drama apabila mengemukakan permohonan memasukkan bukti baharu yang mengaitkan hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Barisan peguam bela bekas Perdana Menteri itu juga memohon perbicaraan rayuan itu ditangguhkan bagi membolehkan mereka menyemak pelbagai dokumen berkaitan kerana baharu sahaja dilantik mengendalikan kes itu di Mahkamah Persekutuan, tetapi ditolak.

Pada 25 Julai lalu, Najib menggugurkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan pembelanya daripada mewakilinya dalam rayuan akhir itu serta melantik

Bekas Presiden UMNO itu memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC sejak 4 Julai 2018 dan melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam cara baharu, dengan Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama serta Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.

Bagaimanapun, panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak kedua-dua permohonan.

Pada 19 Ogos, Najib sekali lagi membuat kejutan apabila menamatkan khidmat firma guaman Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners daripada bertindak mewakilinya, tetapi mengekalkan Hisyam Teh sebagai peguam utama.

Sehari sebelum itu, Hisyam Teh memohon untuk melepaskan dirinya sebagai peguam Najib jika Mahkamah Persekutuan enggan menangguhkan pendengaran rayuan terakhir itu.

Beliau bagaimanapun dihalang oleh panel lima hakim yang mengingatkan peguam itu bahawa beliau mempunyai kewajipan terhadap anak guamnya selepas menerima pelantikan itu.

Susulan penolakan permohonan penangguhan rayuan berkenaan, Hisyam Teh memaklumkan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang hujahan, sama ada lisan atau bertulis, menyebabkan Tengku Maimun mengarahkan pihak pendakwaan memulakan hujahan mulai 18 Ogos.

Pada 19 Ogos, Hisyam Teh sekali lagi memohon perbicaraan rayuan itu ditangguhkan empat hari kerana beliau mempunyai kes lain, tetapi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Pasukan pendakwaan diketuai Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram kemudian menamatkan hujahan pada Jumaat lalu, dengan Hisyam Teh bertegas untuk tidak membuat sebarang hujahan.

Dengan keputusan yang diumumkan Tengku Maimun hari ini, Najib dihantar terus ke penjara bagi menjalani hukuman yang dijatuhi Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 lalu.

Menurut beberapa peguam kanan, Najib masih boleh mengemukakan semakan hukuman itu, tetapi jaminan tidak dibenarkan, sekali gus dia kekal di penjara.

Berita berkaitan
Bunuh teman wanita: Bekas pemandu bas terlepas hukuman gantung, dipenjara 40 tahun
15 jam lalu· Isu semasa
Kumpulan peguam persoal PH dan PMX membisu hukuman penjara Wan Ji
September 26, 2023· Isu semasa
Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana meliwat
September 20, 2023· Isu semasa
UMNO kini sebahagian kerajaan, kenapa tiada keadilan untuk ayah? soal anak Najib
August 24, 2023· Politik
Popular
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
September 26, 2023
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
September 26, 2023
Kumpulan peguam persoal PH dan PMX membisu hukuman penjara Wan Ji
September 26, 2023
Perbicaraan Ebit Liew: Saksi beritahu pemacu pena ada bahan berunsur lucah
September 26, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
15 jam lalu · Isu semasa
Perbicaraan Ebit Liew: Saksi beritahu pemacu pena ada bahan berunsur lucah
16 jam lalu · Isu semasa
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
21 jam lalu · Isu semasa
Permohonan lelaki bunuh kekasih hamil dirujuk psikiatri ditolak mahkamah
21 jam lalu · Isu semasa
Kedah dan Perlis dilanda banjir, PPS dibuka pindahkan mangsa
September 26, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Rakyat jangan emosi warga asing beli barangan subsidi, isu sengaja diperbesarkan
15 jam lalu
[VIDEO] Saya bukan saintis, boleh belajar proses REE dari Lynas, kata menteri
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok