
Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kepada beliau supaya tidak masuk campur dalam sebarang urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan semula, Husni berkata beliau menyuarakan kebimbangan mengenai penubuhan 1MDB kepada Najib yang juga Perdana Menteri ketika itu.
Namun katanya Najib memberitahu akan meneruskan juga penubuhan syarikat pelaburan strategik negara itu dan kerjasama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).
“Pada pertemuan penghujung tahun 2009 itu, saya menyatakan kepadanya supaya tidak meneruskan dengan usaha sama itu kerana syarikat ini masih dalam proses mencari telaga minyak.
“Saya juga menyatakan bahawa 1MDB tiada pengalaman dalam bidang itu dan sepatutnya ia diserahkan kepada syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) tetapi beliau (Najib) kata, ‘kamu jangan masuk campur lagi’.
“Ini menunjukkan beliau (Najib) ada kuasa untuk membuat keputusan kerana tidak ada sebarang perbincangan,” katanya menurut BH.
Dalam keterangan sebelum ini, Ahmad Husni memberitahu mahkamah, dalam pertemuan di pejabat Najib, bekas perdana menteri itu memberitahunya supaya tidak membabitkan diri dan masuk campur dalam (urusan) 1MDB.
Apabila kerajaan memutuskan mengambilalih 1MDB daripada Kerajaan Negeri Terengganu melalui syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), beliau bertemu Najib untuk memberitahunya bahawa 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa ‘feasibility study’ (kajian kebolehlaksanaan).
Ahmad Husni berkata, kajian itu adalah untuk membuat penilaian secara praktikal bagi cadangan sesuatu projek dan risiko dari segi perniagaan serta kewangan yang mana ia sangat penting bagi memastikan pelaburan syarikat menguntungkan kerajaan.
Bagaimanapun, Najib berkata beliau akan teruskan (dengan penubuhan 1MDB), jelas Ahmad Husni.
Sementara itu Ahmad Husni berkata, beliau tidak ada sebarang keraguan bahawa surat peribadinya kepada Najib yang dihantar melalui Setiausaha Sulit Allahyarham Datuk Azlin Alias tidak akan sampai kepada bekas perdana menteri itu.
Surat itu dihantar Ahmad Husni pada 23 Ogos 2010 bagi menyuarakan kebimbangannya berhubung urusan 1MDB yang boleh menjejaskan Kerajaan dan Najib.
Menurut Ahmad Husni, beliau mengenali Azlin ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan II.
Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa atas 16 tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Dia turut didakwa dengan lima tuduhan, menggunakan hasil daripada aktiviti haram untuk disalurkan kepada lima pihak.
Ia membabitkan RM20,000,000 kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000); ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn. Bhd (RM2,000,000) dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).