
Speaker Parlimen Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum ini mengumumkan bahawa status Datuk Seri Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan, kekal buat masa ini.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara automatik mungkin kehilangan status sebagai ahli Parlimen Pekan dalam tempoh 14 hari mulai hari ini, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Keadaan ini boleh berlaku sekiranya tiada prosedur lain mahkamah dimulakan atau pengampunan diraja diberikan dalam tempoh itu, katanya.
Ianya adalah selaras dengan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak mendapat pengampunan diraja.
Pada masa ini, katanya, Parlimen perlu menunggu pemberitahuan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung hukuman yang dikenakan kepada Najib.
Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes melibatkan RM42 dana SRC International Sdn Bhd, semalam.
“Sekarang ini, tiada lagi rayuan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan, tetapi Perkara 48(4)(b) menyatakan sekiranya terdapat prosiding mahkamah lain (dimulakan), maka status Najib (sebagai Ahli Parlimen Pekan) kekal sehingga prosiding itu selesai.
“Saya perlu mengetahui terlebih dahulu jika ada prosiding lain (dimulakan), termasuk semakan, kerana proses semakan adalah sebahagian daripada prosedur mahkamah.
“Jika ada, dan Najib memfailkan semakan dalam tempoh 14 hari, maka statusnya sebagai Ahli Parlimen Pekan akan kekal sehingga prosiding itu tamat.
“Pada masa sama, Perkara 48 menyatakan sekiranya terdapat permintaan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari, maka statusnya kekal sehingga proses pengampunan diraja selesai,” katanya menurut NST.
Menjawab soalan bila Parlimen akan menerima pemakluman daripada Mahkamah Persekutuan mengenai hukuman terhadap Najib, Azhar berkata perkara itu perlu dilakukan segera.
Berhubung pemberitahuan pengesahan kerusi Pekan kosong, Azhar berkata beliau akan mengeluarkan pemberitahuan itu jika Najib tidak memfailkan semakan atau prosiding mahkamah lain dalam tempoh 14 hari akan datang.
“Saya perlu tunggu 14 hari, iaitu bermula hari ini. Jika semua peruntukan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan tidak dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan, barulah saya boleh membuat keputusan (kerusi Pekan dikosongkan).”
Semalam, Najib gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah Mahkamah Tinggi, yang menyaksikan Mahkamah Persekutuan memerintahkan beliau menjalani hukuman 12 tahun penjara berkuat kuasa serta-merta. Dia juga didenda RM210 juta.
Dia telah didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata penemuan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan adalah betul dan hakim perbicaraan yang arif telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, menilai dengan betul semua keterangan berhubung dengan pembelaan dan tidak mempercayai naratif pembelaan.
Beliau juga berkata Najib telah menunjukkan bagaimana pembelaannya tidak konsisten, tidak koheren dan tidak wajar dipercayai, seperti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Selepas menghabiskan satu jam di bilik mahkamah bersama keluarga, pembantu dan ahli parti, Najib dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.