
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di mahkamah pada pagi Isnin (5 September 2022) walaupun laporan media pada Ahad bahawa dia dimasukkan ke hospital.
Bekas Presiden UMNO itu hadir untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB)-Tanore di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib, berpakaian sut gelap, diapit oleh pengawal penjara mengikut kebiasaan dalam prosiding mahkamah, berikutan pemenjaraannya pada 23 Ogos. Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada Ahad, Najib dilaporkan dimasukkan ke hospital dan menjalani pemeriksaan kesihatan. Keadaan kesihatannya tidak diketahui, walaupun dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Najib, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Dia boleh dikenakan denda dan penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.