Najib gagal lagi singkir Sri Ram jadi pendakwa kes 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal untuk menyingkirkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, menjadi sebahagian daripada pasukan pendakwaan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam turut dianggotai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, dan Hakim Datuk Lee Heng Cheong, sebulat suara menolak rayuan Najib.

Terdahulu, bekas Presiden UMNO itu menerusi peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan rayuan semakan kehakiman untuk mengetepikan Sri Ram di dalam pasukan pendakwaan.

“Kami tidak syak lagi Sri Ram lebih layak untuk menjadi DPP (Timbalan Pendakwa Raya) kanan,” kata Yaacob ketika membaca keputusan itu, hari ini.

Katanya, Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah adalah peruntukan tersendiri bagi Peguam Negara merangkap pendakwa raya untuk melantik individu yang berkelayakan sebagai DPP atau DPP kanan.

Awal September lalu, Mahkamah Rayuan juga sebulat suara menolak rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu untuk menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB.

Ketika itu, Yaacob yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Mohd Ruzima berkata Mahkamah Rayuan berpandangan tiada kesilapan yang boleh dirayu yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan Najib.

“Kami dapati tiada merit dalam rayuan ini. Oleh itu, kami menolak rayuan ini dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi membabitkan antaranya, dana RM2.6 bilion milik 1MDB, meminda laporan audit 1MDB dan pecah amanah berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

BERITA BERKAIT
POPULAR