
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.
Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, hari ini (6 September 2022) memfailkan notis usul untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC).
Usul itu difailkan oleh firma guaman diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang kelihatannya telah dilantik semula untuk mengendalikan semakan selepas digugurkan sebagai peguam utama Najib dalam pendengaran rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan.
Dalam notis itu, bekas Perdana Menteri itu memohon semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos yang menolak permohonannya bagi mengemukakan keterangan lanjut berhubung hakim perbicaraan dalam kes SRC, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Bekas Presiden UMNO itu juga memohon semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari sama yang menolak penangguhan pendengaran rayuannya, dan juga semakan keputusan pada 23 Ogos untuk panel hakim baharu dengan dikecualikan Ketua Hakim Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mereka mohon untuk digugurkan sebelum ini.
Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon semakan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos yang mengesahkan sabitan dan hukumannya.
Dia memohon supaya panel tujuh hakim baharu dalam usaha untuk membatalkan keputusan itu, berbanding lima hakim ketika keputusan dibuat pada 23 Ogos.
Bagaimanapun, sebelum semakan boleh didengar, Najib perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk usul itu didengar.
Semakan boleh didengar di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan di mana mahkamah boleh menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk mendengar sebarang permohonan atau membuat apa-apa perintah yang mungkin perlu untuk mencegah ketidakadilan atau mencegah penyalahgunaan proses mahkamah.
Bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa sangat jarang Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran untuk semakan kerana pemohon perlu membuktikan bahawa ketidakadilan telah dilakukan.
Peguam Rahmat Hazlan dari Tetuan Shafee & Co berkata usul semakan itu difailkan pada jam 4 petang hari ini.