Najib disyaki terbabit rancang seleweng dana 1MDB dengan PetroSaudi: Bakke

Seorang saksi perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menolak penglibatan Datuk Seri Najib Razak dalam penyelewengan yang melibatkan pelaburan usama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Saksi pendakwaan ke-13, Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang juga bekas pengerusi 1MDB mengesyaki bekas Perdana Menteri terlibat dalam kes penyelewengan dana syarikat pelaburan negara, malah beliau sendiri tidak selesa untuk berjumpa dengan Najib selepas peletakan jawatannya.

“Saya tak (jumpa) pada masa itu kerana saya ada syak yang bekas perdana menteri juga terlibat dalam ini, terlibat dalam ‘scheme of things’ tentang pelaburan (dana AS$1 bilion untuk usaha sama) dengan Petrosaudi.

“Saya putuskan yang saya tidak mahu jumpa dia secara peribadi. Saya tak selesa,” kata Bakke semasa perbicaraan hari ini selepas disoal peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas.

Bakke berkata, rasa curiga itu timbul kerana projek usaha sama berkenaan dilakukan dengan tergesa-gesa yang turut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) yang lain ketika mesyuarat BOD pada 18 September 2019 apabila mereka mengetahui kaedah pelaburan itu dilaksanakan.

“Dalam mesyuarat BOD pada 26 September, BOD mengambil keputusan untuk meluluskan projek itu tertakluk kepada beberapa syarat.

“Sekali lagi, BOD mengingatkan pengurusan untuk mematuhi beberapa syarat, tetapi pada masa sama perjanjian usaha sama itu ditandatangani dengan dana bagi projek berkenaan dibahagikan menyebabkan kami berasa terkejut,” katanya lagi.

Bakke hari ini dipanggil bagi memberi keterangan terhadap Najib dalam kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB.

Mahkamah sebelum ini diberitahu dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB dihadapi Najib, melalui kerjasama 1MDB-PSI itu, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu AS$700 juta dilencongkan ke dalam syarikat Good Star Ltd yang kemudian didapati merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mahkamah juga diberitahu bahawa perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi PSI meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta, berpunca daripada pindahan dana 1MDB kepada Good Star.

Semasa perbicaraan sebelum ini, Bakke mendedahkan BOD 1MDB diminta oleh Najib untuk tidak menghabiskan masa dengan meneliti transaksi lepas syarikat, sebaliknya menumpukan kepada cadangan usaha sama dengan PSI.

Bakke berkata, perkara itu disampaikan Najib melalui panggilan telefon selepas beliau (Najib) selesai bercakap dengan Jho Low ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada September 2009.

Saksi itu merujuk kepada mesyuarat BOD yang dihadirinya yang turut disertai Jho Low yang mana ahli perniagaan itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada Najib.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR