
Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan sumpah mubahalah bagi tujuan membuktikan sesuatu boleh memakan diri sendiri, walaupun mufti-mufti negeri telah menjelaskan perbuatan itu tiada dalam konteks pembuktian.
“Kesan daripada sumpah mubahalah itu kita tak tahulah, cuma seperti yang disebut oleh mufti-mufti, sumpah mubahalah ini tak ada sebenarnya. Mufti pun dah sebut, tapi apabila orang buat, kita nak kata macam mana?
“Dalam Islam, ulama pun pesan supaya kita jangan mudah bersumpah, kalau tak kena gaya, boleh makan diri. Jadi, sebab itu kena hati-hati kalau kita nak bersumpah.
“Sebab itu, bacalah dalam tulisan-tulisan pandangan ulama, mereka tidak menggalakkan kita bersumpah. Sebab sumpah ini (boleh) memakan diri.
“Mungkin bukan hari ini, tapi suatu masa (nanti) kita tak tahu. Sebab, banyak sejarah dan kejadian sebelum ini. Ada yang dimakan sumpah. Sebab itu kena berhati-hati,” katanya menurut Awani.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Wisma Darulnaim, di Kota Bharu, ketika diminta pandangannya berhubung sumpah mubahalah.
Pada 21 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru dengan membacakan teks sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid menjelang prosiding rayuan akhir kesnya di Mahkamah Persekutuan.
Dalam sumpah itu, Najib antara lain mengulangi penafiannya terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) atau ‘mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akuan banknya untuk apa-apa tujuan pun’.
“Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia sehingga kini aku tidak pernah, pertama, pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung,” kata Najib dalam sumpah itu.
Bagaimanapun, pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi, sekali gus Najib dihantar menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Mengulas lanjut Mohd Amar berkata kesan yang mungkin timbul akibat daripada melafazkan sumpah mubahalah itu tidak diketahui dengan sebenarnya kerana ia merupakan takdir Allah.
Namun, beliau meminta agar semua pihak berhati-hati dengan perbuatan sumpah itu.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar memaklumkan, sudah menjadi amalan PAS dalam pemilihan calon pilihan raya dengan mengetengahkan 30 peratus muka baru.
Walaupun PAS tidak menetapkan kuota 30 peratus calon wanita atau pemuda, namun kebiasaanya calon baru itu terdiri dari Muslimat dan juga Pemuda yang berpotensi menang dan diterima pengundi di satu-satu kawasan.
Tambahnya, PAS juga sedang menjalankan kajian berhubung ‘mood’ pengundi dan ahli-ahli Pas tentang pencalonan.
“Baru-baru ini kita buat apa yang kita panggil kajian awal pilihan raya. Iaitu, kita minta pandangan daripada cawangan-cawangan di seluruh negeri, siapa orang yang mereka rasa sesuai untuk dicalonkan?
“Selepas itu, kita akan proses yang lain pula. Proses kajian itu biasanya kita buat sampai dua atau tiga kali, sebelum kita putuskan siapa yang patut jadi calon,” katanya.