Najib dijemput ke program scam, taikun hartanah nafi anjur WCEF

Jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak merasmikan Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) adalah ‘scam’ apabila pengasasnya yang juga seorang taikun hartanah, Tan Sri Lee Kim Yew mendakwa program tersebut bukan dibawah anjurannya.

Dalam satu kenyataan, Kim Yew menjelaskan pihak penganjur secara salah menganjurkan majlis tersebut dengan menggunakan nama WCEF yang menyebabkan banyak kekeliruan dan menegaskan dirinya tidak mempunyai kaitan dengan acara tersebut.

“Saya mendapat tahu penganjur program pada 27 Dis menggunakan nama WCEF dan beberapa gambar lama di China dua tahun lalu dengan menggunakan nama WCEF kali ke-11. Ini pastinya menyebabkan kekeliruan.

“Penganjur program 27 Dis tidak sepatutnya menamakan program itu WCEF ke-11. Kali ini mereka menjemput bekas Perdana Menteri ke forum tersebut, seorang penjenayah yang menunggu hukuman dalam proses rayuan.

“Pastinya ia mendapat perhatian media, tapi saya ingin tegaskan, kita mesti menghormati kehakiman dan menegakkan undang-undang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, forum tersebut pada asalnya diasaskan beliau pada 2009 tetapi sudah ditukar kepada Persidangan Ekonomi dan Teknologi China Sedunia (GCETS) dan bukannya WCEF, malah pada 16 Dis lalu sudah berlangsung satu majlis anjurannya di Shangri-La Rasa Sayang, Pulau Pinang.

“Nama forum sudah ditukar kepada World Chinese Economic Summit dan pada tahun ini pula ditukar kepada Global Chinese Economic and Technology Summit (GCETS).

“Baru-baru ini kami menganjurkan Global Chinese Economic and Technology Summit di Shangri-La Rasa Sayang, Pulau Pinang pada 16 December 2021,” katanya lagi.

Pada majlis 16 Dis lalu itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Gabenor Pulau Pinang, Tun Ahmad Puzi Abdul Razak dijemput ke majlis tersebut.

Kim Yew berkata merasa malu kerana ada pihak yang bertanya kepadanya berhubung jemputan kepada Najib ke WCEF.

Beliau berkata pihak penganjur telah menggunakan nama WCEF sejak dua tahun lalu dan tidak seharusnya berbuat demikian.

“Insiden ini buat saya rasa malu tapi pada masa sama saya juga berbesar hati.

“Ia menunjukkan nama WCEF, yang dimulakan oleh saya pada peringkat awal, ada pengaruh kuat, dan tenaga positifnya membuatkan ramai orang ingin turut serta. Tetapi saya membantah plagiarisme,” katanya lagi.

Selain menyampaikan ucap tama, Najib juga menjadi tetamu kehormat untuk majlis anugerah dan makan malam pada malam ini.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah untuk tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu dan antara lain menyifatkan Najib sebagai memalukan negara.

Najib kini mengemukakan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR