Najib diarah fail pernyataan pembelaan dalam saman SRC AS$1.18 bilion

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman US$1.18 bilion yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam Lisa Yong yang mewakili SRC ketika dihubungi pemberita berkata semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, mahkamah mengarahkan Najib memfailkan pernyataan pembelaan dalam bahasa Inggeris hari ini manakala bahasa Melayu pada 4 April, menurut laporan Bernama.

“Mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 13 Mei,” katanya dan menambah pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 18 Mei.

Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama individu itu daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

BERITA BERKAIT
POPULAR