Najib diarah beri penjelasan isu hutang 1MDB kepada Parlimen

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Rabu ini berhubung kenyataannya ketika perbahasan minggu lepas yang dikata mengelirukan dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata beliau telah menulis surat kepada Najib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan meminta Ahli Parlimen Pekan itu memberi kenyataan.

“Saya telah menulis kepada YB (Yang Berhormat) Pekan untuk minta penjelasan, serta YB Menteri Kewangan tentang apa yang beliau katakan tempoh hari dan saya sedang menunggu jawapan.

“Saya meminta beliau (Najib) beri penjelasan hari Rabu ini, tapi saya tak tahulah beliau dapat (atau tidak) beri penjelasan hari itu, saya tidak tahu,” katanya.

Azhar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (DAP-Jelutong) yang bangun pada sesi perbahasan Titah Diraja persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini untuk meminta maklum balas mengenai usul Tony Pua (PH-Damansara) yang mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pua menghantar usul itu berikutan ucapan Najib dalam Dewan Rakyat pada 2 Mac dikatakan mengandungi kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dewan berkaitan isu hutang 1MDB dan boleh disifat sebagai menghina majlis.

Najib pada 2 Mac lalu ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong mendakwa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang rakyat.

Bagaimanapun, sehari kemudian Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan Najib sambil memaklumkan kerajaan sudah mula membayar faedah hutang 1MDB sebanyak RM6.5 bilion.

Tengku Zafrul berkata sehingga akhir Februari 2022, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah, menurut laporan Bernama.

“Kita sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi,” katanya.

Hari ini, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dakwaan Najib itu adalah satu kenyataan tidak benar dan mengelirukan.

“Saya hairan Pekan sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh terlupa bahawa hutang-hutang 1MDB adalah dijamin oleh Kerajaan.

“Apabila 1MDB gagal membayar hutang-hutang termasuk faedah yang keseluruhannya berjumlah lebih RM50 billion, maka kerajaanlah yang terpaksa membayar hutang-hutang ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR