Najib diajak berdebat dalam isu hutang Felda, tempat akan disediakan

Tempat akan disediakan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi berdebat berhubung isu hutang yang ditanggung peneroka Felda sebelum tibanya hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Jemputan itu disuarakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membuktikan Najib dan UMNO sebenarnya adalah penyelamat Felda seperti yang didakwanya dalam ceramah di kampung peneroka, walhal faktanya kerajaan dipimpin Najib sebelum ini paling banyak menambah hutang peneroka.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, melalui sesi debat itu, peneroka Felda perlu tahu bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya adalah penyelamat bagi Felda dan peneroka apabila secara dasar bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion sebelum ini.

“Beliau (Najib) tidak boleh mendabik dada kata UMNO selamatkan Felda, sebenarnya kepemimpinan beliaulah yang menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.

“Isunya Felda dimusnahkan di zaman pentadbiran beliau ketika itu…kita ada fakta bagaimana pembelian Eagle High Plantations TPK di Indonesia dan pembelian banyak hartanah di luar negara.

“Itu semuanya masih dalam siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan pihak polis,” katanya.

Azmin terdahulu menghadiri program ceramah umum ‘Ikrar Demi Bangsa Johor’ di Muar.

Pada masa sama, Azmin berkata, pihaknya terbuka untuk debat itu sama ada dilakukan secara bersemuka atau maya namun terpulang kepada Najib untuk menerimanya atau tidak.

Azmin berkata, kertas putih Felda yang dibentangkan di Parlimen jelas membuktikan pengkhianatan kerajaan terdahulu terhadap peneroka termasuk isu pemajakan tanah Felda dalam FGV Holdings Bhd (FGV).

“Sebelum itu pendapatan Felda amat besar untuk menampung kebajikan peneroka tetapi akhirnya saham FGV merudum dari RM4.55 kepada 0.64 sen.

“Hutang Felda juga melebihi RM10 bilion sehingga terpaksa mengambil sukuk dan ditanggung kerajaan, ini semua harus dizahirkan dan dimaklumkan kepada peneroka.

“Peneroka Felda perlu beri ruang dan peluang kepada PN untuk membela nasib dan masa depan mereka,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR