Najib dedah anaknya dikenakan cukai lebih rendah bukan RM13.1 juta

Jumlah cukai yang diarahkan dibayar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap anak Datuk Seri Najib Razak bukan bernilai RM13.1 juta seperti dilapor media, tetapi jauh lebih rendah amaunnya.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan anaknya Mohamad Nizar Najib dikenakan jumlah cukai yang harus dibayar adalah jauh lebih sedikit selepas mencapai persetujuan dengan agensi percukaian tersebut.

“LHDN tuntut RM13.16 juta tetapi apa yang akhirnya dipersetujui antara LHDN dengan anak saya pada bulan Mei ialah satu jumlah yang jauh, jauh, jauh lebih rendah.

“Sekaligus membuktikan bahawa angka-angka yang dikenakan ke atas anak saya oleh LHDN masa (pentadbiran) PH (Pakatan Harapan) adalah sangat melampau dan bermotif politik,” katanya dalam status akaun Facebooknya.

Bagaimanapun, Najib tidak mendedahkan jumlah bayaran yang dikenakan LHDN tersebut atas alasan ia syarat sulit.

“Namun, angka sebenar yang dibayar tidak boleh didedahkan secara umum sebab ada syarat sulit yang diletak oleh pihak LHDN.

“Kita tak bantah sekiranya LHDN mahu dedahkan jumlah penyelesaian sebenar,” tambahnya.

LHDN telah menuntut tunggakan tahun taksiran antara tahun 2011 dan 2017. Perintah persetujuan, atau penyelesaian, telah dirundingkan dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) pada 27 Mei.

Biasanya, LHDN tidak mengumumkan jumlah tuntutan dan jumlah penyelesaian awam yang mereka tuntut.

Walau bagaimanapun, jumlah yang diminta dari Nizar diumumkan dalam tuntutan LHDN untuk menuntut tunggakan itu pada tahun 2019.

Sebelum ini, LHDN juga ada mengemukakan tuntutan yang serupa terhadap Najib atas tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion dan adiknya Mohd Nazifuddin Najib untuk tunggakan berjumlah RM37.6 juta.

BERITA BERKAIT
POPULAR