Najib dapat keistimewaan kerana MOU Anwar dan DAP dengan kerajaan

Punca Datuk Seri Najib Razak menerima layanan istimewa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah disebabkan kebodohan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang bersetuju menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

Anwar dan DAP yang sebelum ini bersungguh-sungguh melawan kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh menjadi kucing apabila UMNO menjadi dominan, tetapi kini mahu mengkaji balik semula MOU yang mereka sendiri tandatangani.

Hasil MOU yang ditandatangani tidak mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada rakyat, malah yang menerima faedah adalah kumpulan kluster mahkamah dan terbaharu Najib bakal diberikan hadiah tanah bernilai RM100 juta.

MOU juga gagal apabila matlamat utamanya untuk menstabilkan politik negara tidak berjaya selepas tercetusnya satu lagi kemelut di Melaka sehingga diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jadi, apakah manfaat yang rakyat dapat manfaat hasil MOU tersebut? Yang dapat manfaat paling banyak sebenarnya Anwar kerana sudah dinaikkan pangkat setara dengan menteri walaupun hanya sekadar Ketua Pembangkang.

Tidak perlulah Anwar nak membuat ayat-ayat suci kononnya marah dengan keistimewaan yang diberikan kepada Najib walhal beliau sendiri takut kehilangan elaun dan kelebihan selepas dinaikkan pangkat setara menteri.

MOU tersebut juga dipersetujui secara sebulat suara Anwar dan DAP yang sanggup mempertahankan Ismail Sabri bagi memastikan pembentangan belanjawan diluluskan.

Tapi kini tiba-tiba Anwar mahu menggugut kerajaan Ismail Sabri berhubung isu RM100 juta, malah cuba menonjolkan imej seolah-olah marah sungguh dengan keputusan kerajaan itu.

Anwar dan DAP perlu sedar diri, punca Ismail Sabri semakin naik lemak dan berani membuat keputusan sesuka hatinya juga adalah disebabkan berpunca daripada langkah mereka juga yang menandatangani MOU dan mempercayai secara bulat-bulat kepada UMNO.

Yang pastinya, MOU sudah gagal dan ia perlu diakui. Jika Anwar dan DAP berani, silalah batalkan MOU tersebut dan menolak Bajet 2022 jika berani.

Tidaklah perlu untuk memberikan alasan akan mengkaji atau sebagainya kerana realitinya MOU tersebut hanya sekadar atas kertas dan sudah tidak bermakna lagi.

Sedarlah Anwar dan DAP kerana kebodohan anda, lihatlah bagaimana satu persatu kluster mahkamah diberikan keistimewaan, malah sehingga tidak lagi boleh dipersoalkan tindak tanduk mereka.

Kluster mahkamah semakin angkuh, malah anak murid Anwar yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sudah tidak lagi menghormati cikgunya apabila tidak lagi menghubunginya lama.

Malah, Anwar difahamkan terlalu rindu dengan Zahid dan mahu berbincang untuk bertukar fikiran bagi merancang strategi politik.

Jadi, mahu tunggu apa lagi Anwar dan DAP? Jika berani, batalkan MOU dan tidaklah perlu bersandiwara kononnya menolak UMNO tetapi sebenarnya kini sudah mendakap UMNO dengan erat sehingga tidak berani mempersoalkan segala tindak tanduk UMNO.

Sudah-sudahlah menipu rakyat dan menutup mata seolah-olah rakyat bodoh tidak melihat apa yang sedang berlaku ketika ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR