Najib cuba cuci tangan konon tiada kuasa dalam syarikat swasta: Rafizi

Bekas Ahli Parlimen Pandan yang juga orang kuat PKR, Rafizi Ramli terus ‘menembak’ bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung masalah dihadapi Sapura Energy Berhad yang mungkin diisytihar muflis.

Pertikaian kedua-duanya tercetus susulan cadangan Najib supaya kerajaan, melalui Petronas, menyuntik dana bagi membantu memulihkan semula Sapura Energy, sementara Rafizi pula membantah cadangan itu sambil mengingatkan mengenai idea songsang Najib.

Dalam kenyataan terbaharunya hari ini, Rafizi berkata Najib perlu bertanggungjawab memastikan pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) di dalam Sapura memberi pulangan terbaik kepada rakyat.

Katanyanya tanggungjawab Najib dipandang dari dua perspektif iaitu sebagai Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera yang memiliki PNB dan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab memastikan pelaburan GLIC dan GLC mengikut Program Transformasi GLC 2005-2015.

“Secara khusus, Perkara 3.2.4 dalam Manual Transformasi GLC 2005-2015 menetapkan bahawa GLIC (termasuk PNB) perlu menghantar laporan setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Transformasi GLC (PCG) yang dipengerusikan Najib sendiri untuk menilai portfolio pelaburan mereka.

“Ini bermakna, walaupun Sapura bukan dikira GLC semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dia bertanggungjawab sebagai pemegang amanah PNB untuk membantah sebarang urusan yang merugikan PNB.

“Lebih dari itu, kawal selia portfolio pelaburan PNB (termasuk pelaburan bukan majoriti seperti pelaburan di dalam Sapura) tertakluk pula kepada Program Transformasi GLC yang dipengerusikan beliau sendiri,” katanya.

Bekas Naib Presiden PKR itu juga berkata Najib boleh cuba menipu rakyat dengan alasan-asalan mudah yang diberikan di dalam media sosialnya, tetapi beliau tidak boleh lari daripada rekod cuainya yang diketahui dunia.

“Sebab itu, gesaan Najib supaya Kerajaan Persekutuan menyelamatkan Sapura menggunakan wang rakyat perlu disanggah untuk menunjukkan wajah sebenarnya Najib kepada pengundi atas pagar,” katanya lagi.

Rafizi juga menuduh Najib cuba mencuci tangan dengan memberi alasan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan tidak ada kuasa dalam urusan syarikat swasta, terutama apabila membayar RM983 juta kepada pengarah eksekutif Sapura Energy.

“Dalam isu pembayaran RM983 juta kepada pengarah eksekutif yang mewakili pemegang saham majoriti dalam keadaan kepentingan pemegang saham minoriti terabai, alasan bahawa keputusan-keputusan itu adalah hak syarikat swasta semata-mata adalah alasan kurang cerdik dari Najib.

“Sapura bukanlah syarikat swasta biasa, ia adalah syarikat awam yang mengambil wang dari rakyat biasa yang menjadi pemegang saham minoriti. Tindak-tanduknya tertakluk kepada akta-akta tertentu untuk menjaga kepentingan awam yang menjadi pemegang saham minoriti,” katanya.

Artikel penuh di ruang RENCANA

BERITA BERKAIT
POPULAR