Najib buta kewangan: Tony Pua

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua hari ini menyifatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang buta ilmu kewangan selepas mendakwa kerajaan boleh menebus bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lebih awal untuk menjimatkan kadar faedah.

Pua menegaskan bahawa tindakan itu tidak boleh dilakukan kerana penstrukturan bon sangat berbeza daripada pinjaman yang diambil daripada bank.

“Semalam, Najib mendakwa 1MDB boleh mengaut keuntungan RM9.7 bilion. Kenyataan ini hanya mengesahkan bahawa bekas Menteri Kewangan kita memang tidak celik kewangan.

“Najib secara salah berhujah bahawa, memandangkan terdapat hanya RM17 bilion hutang yang perlu dibayar, jika kita menjual Bandar Malaysia pada harga RM12 bilion, dan menguatkuasakan jaminan Abu Dhabi sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.7 bilion), 1MDB akan membuat keuntungan RM9.7 bilion,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Damansara dipetik daripada laporan media berkata bahawa seorang pelajar tahun pertama perakaunan pun boleh memberitahu Najib bahawa beliau telah sepenuhnya keliru berhubung ‘kunci kira-kira’ syarikat dengan penyata ‘untung dan rugi’.

“‘Lembaran imbangan’ biasanya merekodkan aset dan hutang syarikat, manakala ‘keuntungan dan kerugian’ mengenai hasil terkumpul 1MDB (sangat sedikit) dan kos (termasuk perbelanjaan faedah besar-besaran) sejak 13 tahun lalu.

“Najib telah mengelirukan kedua-duanya,” katanya.

Pua juga bertanya kepada Najib sama ada akan menjawab dakwaan bahawa beliau telah menyalahgunakan berpuluh-puluh bilion ringgit yang Pakatan Harapan dan kerajaan berikutnya telah berjaya ambil semula daripada individu yang terlibat dalam jenayahnya terhadap rakyat Malaysia, termasuk Goldman Sachs, Jho Low dan rakan-rakannya, Ambank dan juga juruaudit, KPMG dan Deloitte Malaysia.

“Bagaimana pula dengan fakta bahawa penyiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah bekas pekerja Goldman Sachs, Roger Ng semalam bahawa Najib telah menerima AS$756 juta daripada dana yang dicuri daripada 1MDB?

“Atau adakah Najib akan terus memberi alasan lucu bahawa ia adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi?

“Atau lebih baik lagi, dia tidak tahu dari mana wang itu, atau mengapa ia didepositkan, tetapi dia membelanjakan sebahagian daripadanya, untuk barang kemas mahal, hadiah hari jadi untuk isterinya, atau percutian mewah serta membeli sokongan politik dalam UMNO dan untuk pilihan raya,” kata Pua lagi.

Pua juga mengingatkan Najib bahawa beliau menandatangani jaminan dengan Abu Dhabi, bagi pihak kerajaan Malaysia.

“Ini bermakna jika 1MDB gagal membayar balik bon AS$3.5 bilion, dan Abu Dhabi dikehendaki memenuhi jaminan, maka Abu Dhabi boleh membuat tuntutan terhadap kedua-dua 1MDB, jadi rakyat perlu membayar, tanpa mengira jaminan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tanah Bandar Malaysia dimiliki oleh kerajaan sebelum ia dijual kepada 1MDB pada harga RM72 sekaki persegi.

“Justeru jika tanah Bandar Malaysia sememangnya boleh dijual dengan harga RM12 bilion, keseluruhan hasil itu perlu disimpan oleh kerajaan untuk projek pembangunan lain dan kebajikan lain.

“Mengapa ia perlu digunakan untuk membayar hutang 1MDB sedangkan 1MDB telah menambah nilai sifar ke atas tanah itu,” soalnya.

Terdahulu, seorang ejen FBI, Eric Van Dorn berkata Najib menerima dana yang diseleweng daripada 1MDB sebanyak AS$756 juta atau bersamaan RM3.18 bilion.

Beliau yang memberi keterangan dalam perbicaraan di Amerika Syarikat berkata wang yang diselewengkan dan diterima Najib adalah dana AS$6.5 bilion yang diperoleh dalam pelaksanaan bon yang dilakukan 1MDB dengan Goldman Sachs.

Ejen FBI Eric Van Dorn memberi keterangan itu dalam perbicaraan rasuah bekas pegawai bank Goldman, Roger Ng di New York.

Dalam pada itu, saksi juga memberitahu ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, didakwa mencuri AS$1.42 bilion (RM5.97 bilion) dan anak tiri Najib Riza Aziz (AS$238 juta) dana 1MDB. Berita berkaitan

BERITA BERKAIT
POPULAR